Oleh: ANNAS ZAINUL ABIDIN & ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Tuan Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas berharap Kerajaan Pusat segera meluluskan permohonan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) demi kepentingan rakyat di negeri berkenaan.
Beliau berucap demikian semasa majlis pembukaan mesyuarat penggal pertama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-13 pada 2 Julai lepas.
“Sehingga sekarang, hanya Rumah Pangsa Kos Rendah Taman Sungai Batu di Teluk Kumbar telah
diluluskan sebanyak RM100,000.
“Adalah diharapkan, pihak Kerajaan Persekutuan akan meluluskan pemberian baki kos pembaikan 90 peratus dan 70 peratus dengan segera,” ujarnya di sini baru-baru ini.
Beliau turut menyokong rancangan Kerajaan Negeri mewujudkan program HAPPY! atau Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang demi ‘menjayakan program Kerajaan Pusat TP1M’.
Melalui program HAPPY!, Kerajaan Negeri menawarkan pembiayaan baki sebanyak 10 peratus dan 30 peratus kos perbelanjaan yang perlu dikeluarkan oleh pemilik rumah kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR) bagi memperbaiki tangki air, kabel elektrik, lif mahupun mengecat semula rumah pangsa.
Difahamkan, sebanyak 99 permohonan TP1M dibuat oleh perbadanan pengurusan (MC) bagi membaiki rumah kediaman masing-masing di Pulau Pinang.
53 permohonan dibuat melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan 46 permohonan lain
dibuat melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Dari jumlah itu, hanya satu permohonan dikenal pasti lulus oleh Kerajaan Pusat sebagaimana
disebut dalam ucapan Abdul Rahman.
“Untuk menaik taraf bangunanbangunan perumahan bertingkat yang dimajukan oleh Kerajaan Negeri perlulah diteruskan untuk kemudahan rakyat,” kata beliau.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rahman turut menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri merancang pembangunan rumah mampu milik pelbagai kategori di tujuh lokasi sekitar kawasan pulau dan Seberang Perai.
Harga rumah pelbagai kategori itu bernilai antara RM72,500 hingga RM400,000 seunit dengan
penekanan ke atas rumah bernilai antara RM200,000 hingga RM250,000.
Sebanyak RM500 juta diperuntukan Kerajaan Negeri bagi membina 22,172 unit rumah mampu milik di kesemua lokasi pembangunan berwajib.
Dari jumlah itu, 3,152 unit rumah mampu milik akan dibina di sebelah pulau, manakala, bakinya bakal dibina di sebelah Seberang Perai.
Itu, katanya, tidak termasuk rancangan terbaru Kerajaan Negeri menambah pembinaan sekurang-kurangnya 5,000 unit lagi rumah mampu milik di kawasan pulau dengan mengambil alih sebidang tanah di Balik Pulau serta menebus guna tanah di Middle Bank di sini.
Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan inisiatif Kerajaan Negeri merancang pembinaan 2,420 unit, iaitu 1,900 di Jalan S.P. Cheliah dan 520 unit di Bandar Cassia dekat Batu Kawan, hatta, menarik minat lebih 19,000 orang membuat permohonan.