TYT, isteri bersama-sama 20 badan sambut Hari Perpaduan Pulau Pinang

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) saling beramah mesra dengan para pemimpin badan badan muhibah etnik yang menganggotai MPMNPP dalam acara keraian berkaitan di sini pada lewat petang tadi.

BATU MAUNG – Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-lapan, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Seri Utama Khadijah Mohd. Noor pada lewat petang ini berkenan menyertai sambutan Hari Perpaduan Negeri bersama-sama 20 badan muhibah etnik yang menganggotai Majlis Perundingan Muhibah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP).

Mewakili Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata Kerajaan Negeri hari ini berharap Tun Ahmad Fuzi dan isteri terus menjadi tonggak semangat muhibah dalam kalangan penduduk negeri yang berbilang etnik.

ABDUL Halim Hussain semasa menyampaikan ucapan bagi pihak Ketua Menteri Pulau Pinang.

Di samping itu, beliau berkata Kerajaan Negeri hari ini akan terus menyokong program menyemarakkan semangat muhibah rakyat yang dianjurkan melalui MPMNPP termasuk daripada segi kewangan.

“Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranan kerana kita percaya keharmonian yang terhasil daripada perpaduan ini merupakan suatu keistimewaan yang boleh menjadi daya tarikan kepada pelabur untuk melabur di negeri dan negara kita.

“Hubungan harmoni dan kerjasama antara pelbagai kaum merupakan kunci dan senjata utama serta akan terus menjadi agenda perpaduan yang sentiasa dititiberatkan sejajar dengan Visi Penang 2030,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung di Penang Golf Club di sini pada 8 Februari 2022.

Dalam pada itu, Abdul Halim turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Pengerusi MPMNPP, Tan Sri (Dr.) Haji Mohd. Yussof Latiff kerana dalam hampir dua dekad belakangan ini berjaya menggerakkan pertubuhan gabungan itu demi menyemarakkan semangat muhibah dalam kalangan etnik di negeri ini.

MOHD. Yussof Latiff (kiri) saling berbual dengan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak mengenai agenda MPMNPP dalam menyemarak semangat muhibah di negeri Pulau Pinang dengan mengambil kira keadaan pandemik COVID-19 yang masih belum reda.

Sebelum pada itu, Mohd. Yussof dalam ucapannya memberitahu bahawa mantan TYT, Tun Dato’ Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas telah mengumumkan tanggal 8 Februari 2004 sebagai hari rasmi bagi sambutan Hari Perpaduan Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Menurutunya lagi, MPMNPP ditubuhkan oleh mantan Perdana Menteri ke-lima Malaysia, Tun Dr. Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 8 Februari 2004.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari dan isteri merupakan antara tetamu kehormat utama menyertai acara keraian tersebut yang dianjurkan secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) berwajib.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI