KAHERAH – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berhasrat untuk memperluas serta memperkasa lagi kerjasama dengan Universiti Al-Azhar, Mesir.
Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I yang juga Yang di-Pertua MAINPP, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata Langkah itu adalah simbol komitmen Kerajaan Negeri hari ini dalam mendigitalkan Pendidikan berlandaskan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 (APAI2030).
Beliau yang juga Exco Pembangunan Agama, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Perpaduan Masyarakat berkata demikian dalam satu kenyataan, semasa mengiringi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak melawat universiti terkemuka itu.
“Kita (MAINPP) ingin mewujudkan ‘Endowment Chair Professor Al-Azhar’ dalam bidang Syariah sebagai acara tahunan, yang akan dihubungkan melalui Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bagi tujuan kerjasama penyelidikan isu-isu fekah dan syariah.
“(Endowment Chair Professor Al-Azhar) bakal memberi implikasi terhadap kepentingan bukan sahaja kepada masyarakat, malahan juga umat Islam di Pulau Pinang dan Malaysia secara amnya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Selain itu, Mohamad memberitahu bahawa perkara lain yang turut dibincangkan adalah mengenai penawaran program Ijazah Sarjana Muda Al-Azhar secara hibrid di Kolej Islam Teknologi Antarabangsan (KITAB) Pulau Pinang.
“Program berkenaan mengkhususkan bidang Pengajian Islam yang meliputi Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab, merangkumi tempoh dua tahun program secara atas talian dan dua tahun lagi pelajar meneruskan pengajian secara fizikal di Universiti Al-Azhar,” jelasnya lagi.
Perkara ketiga dan terakhir yang dibincangkan, menurutnya lagi adalah usaha memperkukuh penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar KITAB Pulau Pinang.
“(Kita berusaha mewujudkan) kerjasama dalam mentransformasikan Pulau Pinang sebagai hub pengajian Bahasa Arab melalui Sub memeterai perjanjian persefahaman (MoU) Al Azhar – Malaysia.
“Maka, lebih mudah bagi pelajar-pelajar (di Pulau Pinang terutamanya) yang telah menguasai Bahasa Arab melanjutkan pengajian ke Timur Tengah,” jelasnya lanjut.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long; Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Prof. Madya Dr. Mohd. Sukki Othman; Setiausaha MAINPP, Dato’ Rosidi Hussain; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP), Marzuki Hassan serta Rektor KITAB Pulau Pinang, Profesor Madya Dr. Wan Nazjmi Mohamed turut sertai dilegasi tersebut bersama-sama Tun Ahmad Fuzi dan Mohamad.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL