TYT mohon Pusat biaya projek infrastruktur tangani trafik sesak Pulau Pinang

TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (kanan) diiringi Ketua Menteri (kiri) menyaksikan acara tabik hormat perbarisan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sempena Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 17 November 2023.

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sendiri memohon Kerajaan Persekutuan mempertimbang peruntukan pembangunan yang lebih tinggi untuk membiayai projek penyuraian trafik sesak di negeri ini.

Beliau melafazkan permohonan tersebut semasa berucap sempena Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 17 November 2023.

“Saya memohon supaya Kerajaan Persekutuan
mempertimbangkan peruntukan pembangunan yang lebih tinggi untuk negeri Pulau Pinang, antaranya, bagi membiayai projek-projek menangani isu kesesakan trafik ke Sungai Dua, Lebuhraya Utara-Selatan dan
kawasan sekitar di Seberang Perai, Pulau Pinang.

“Sekiranya aliran trafik di Seberang Perai ini tidak diatasi dengan segera, ia sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pembangunan sosioekonomi di negeri ini,” jelasnya.

Menurut beliau, permohonan pembiayaan Persekutuan itu adalah wajar memandangkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan sebanyak RM295 bilion eksport negara adalah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Pelabuhan Pulau Pinang (RM56 bilion).

Di samping itu, Tun Ahmad Fuzi turut memohon Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada Pulau Pinang bagi tujuan memenuhi keperluan penjagaan kesihatan warga emas di negeri ini.

“Ini, adalah sejajar dengan laporan daripada Projek Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang meramalkan bahawa menjelang 2040, Pulau Pinang akan mempunyai populasi penuaan tertinggi di Malaysia.

“Inisiatif-inisiatif seperti saringan kesihatan warga emas, klinik warga emas dan sebagainya boleh diperkasa demi memfokuskan kepada kehidupan dan kesihatan yang berkualiti serta berupaya mempromosi penuaan sihat dalam kalangan warga emas di negeri ini,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut memuji pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow atas kejayaan mengurangkan hutang terkumpul Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan di samping tidak menjana hutang baharu.

“Prestasi kewangan Kerajaan Negeri kekal teguh, dengan baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun semasa berjumlah RM1.859 bilion manakala baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun
semasa adalah berjumlah RM1.859 bilion.

“Hutang awam Kerajaan Negeri yang terdiri daripada hutang kepada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek pembangunan menunjukkan baki berjumlah RM41.11 juta pada akhir tahun 2022 berbanding RM45.41 juta pada tahun 2021, iaitu menurun sebanyak RM4.30 juta) atau 9.5 peratus.

“Kecemerlangan ini terus diukir dengan tiada rekod pinjaman baharu oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada Kerajaan Persekutuan yang dibuat sejak tahun 2016,” ulasnya lanjut.

Selain Kon Yeow, turut serta, Speaker DUN, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; barisan Exco Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan dan para pengamal media.

Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Pulau Pinang Ke-15 yang bermula pada hari ini dijadualkan berlangsung sehingga 1 Disember 2023.

Sebelum pada itu, Tun Ahmad Fuzi menyempurnakan pemeriksaan kawalan kehormatan Pasukan Simpanan Persekutuan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota pelbagai pangkat dengan diiringi kor pancaragam di perkarangan hadapan bangunan DUN Pulau Pinang di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT & LAW SUUN TING