TYT puji pentadbiran Kon Yeow makmurkan ekonomi negeri, sejahterakan rakyat jelata

州元首敦阿末弗兹向仪仗队敬礼,后为首长曹观友。

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melafazkan ikrar taat setia bagi pihak sekalian barisan pemimpin Kerajaan Negeri, pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam beserta rakyat Pulau Pinanh sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-74 Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Semasa berucap, Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya senantiasa mendoakan kesejahteraan Tun Ahmad Fuzi dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor agar dilanjutkan usia dengan nikmat kesihatan yang berpanjangan serta akan terus menjadi tonggak pemerintahan negeri.

Dengan nasihat serta pandangan daripada Tun Ahmad Fuzi, Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya akan terus berusaha memakmurkan ekonomi negeri serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

“Seperti yang sedia maklum, Pulau Pinang telah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 13.1 peratus atau RM112.1 bilion bagi tahun 2022, iaitu yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Bagi tempoh Januari sehingga Jun 2023 pula, perkongsian perangkaan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan bahawa Pulau Pinang telah merekodkan pelaburan yang diluluskan bagi sektor perkilangan berjumlah RM4.258 bilion merangkumi 67 projek dengan unjuran 4,738 peluang pekerjaan baharu.

“Prestasi cemerlang ini membuktikan bahawa kestabilan dan kemakmuran ekonomi negeri kini adalah lahir daripada dasar serta kepimpinan Kerajaan Negeri serta dedikasi dan iltizam seluruh rakyat negeri Pulau Pinang secara keseluruhan,” jelasnya juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dalam istiadat berkaitan yang berlangsung di Dewan Sri Pinang pada 14 Oktober 2023.

Berucap selepas itu, Tun Ahmad Fuzi berharap pentadbiran Kon Yeow terus memanfaatkan mandat serta kepercayaan yang diraih pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ke-15 (PRN15) pada bulan lepas dengan majoriti dua pertiga untuk memakmurkan ekonomi negeri dan kehidupan rakyat jelata.

“Saya percaya dan yakin, amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Negeri Pulau Pinang akan terus disahut dengan penyampaian perkhidmatan yang berintegriti dan cemerlang ke arah satu matlamat yang sama iaitu dalam menjayakan Visi Penang2030,” ujarnya.

Selain itu, Tun Ahmad Fuzi turut memuji kejayaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadi antara negeri ‘jaguh’ pelaburan negara ketika itu.

“Pelaburan langsung asing (FDI) pula, mencatatkan sebanyak RM9.7 bilion atau 71 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan bagi tahun 2022vdengan baki berjumlah RM4 bilion merupakan pelaburan langsung domestik (DDI).

“Negeri Pulau Pinang turut mencatatkan RM13.7 bilion dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan pada tahun 2022, melibatkan aliran masuk 135 projek dengan penjanaan sebanyak 15,752 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.

“Ini menjadikan negeri Pulau Pinang penyumbang kedua tertinggi, dengan sumbangan sebanyak 16 peratus dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan dalam negara pada tahun 2022,” ulasnya lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Tun Ahmad Fuzi memberitahu bahawa pihaknya mengikuti perkembangan terbaru berhubung isu gangguan bekalan beras peringkat sejagat yang turut mengakibatkan kenaikan harga komoditi itu di tanah air ini.

Justeru, beliau berharap pentadbiran Kon Yeow mengeratkan lagi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan hari ini bagi menjayakan Program Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan yang mana baru-baru ini negeri Pulau Pinang dilaporkan menerima 45,000 kilogram (kg).

Pada pagi ini, tujuh bekas Exco Kerajaan Negeri menerima menerima anugerah darjah kebesaran dan bintang atas sumbangan masing-masing sebelum ini.

Mereka, mantan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; mantan Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; mantan Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh dan mantan Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Mantan Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; mantan Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dan bekas Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin masing-masing turut dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’.

Seramai Seramai 1,117 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat Negeri Pulau Pinang sempena berlangsungnya istiadat pada kali.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & DARWINA MOHD. DAUD
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD