TYT rasmi feri baharu, Kon Yeow puji kolaborasi Pusat tingkat mutu mod pengangkutan awam negeri

Admin
KETUA Menteri (tengah, kanan) bersama-sama Anthony Loke Siew Fook (tengah, kiri) mengiringi Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah, tengah) menaiki Feri Baharu Pulau Pinang di Pengkalan Raja Tun Uda di sini pada 17 Ogos 2023.

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sendiri berkenan merasmikan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Operasi Feri Baharu Pulau Pinang dekat Pangkalan Raja Tun Uda di sini pada 17 Ogos 2023.

KETUA Menteri

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berharap pengoperasian pengangkutan ikonik negeri itu sekali gus menambah baik mod pengangkutan serta meningkatkan ketercapaian jaringan sistem pengangkutan udara, darat dan juga air di Pulau Pinang.

“Selain menjadi ikon Pulau Pinang, perkhidmatan feri merupakan mod pengangkutan penting yang menghubungkan bahagian Seberang Perai dan pulau negeri ini.

“Pada aspek sektor pelancongan, ia juga amat berkait rapat yang mana selain perkhidmatan lebih selesa, jaringan serta tempoh masa perjalanan yang singkat bakal memainkan peranan lebih signifikan terutamanya dalam mempelbagai serta memperkenalkan dengan lebih meluas produk-produk tarikan yang terdapat di Seberang Perai khasnya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkak Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis berkaitan.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa pengoperasian perkhidmatan feri baharu negeri tersebut turut akan melimpahkan manfaat berantai kepada komuniti lokal iaitu dalam bentuk peluang pekerjaan serta usahawan dalam sektor peruncitan yang sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi rakyat.

Selain itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Exco Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban, Negeri Sembilan kerana sentiasa memberikan perhatian khas kepada agenda pembangunan jaringan pengangkutan negeri di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu bahawa pentadbirannya berharap kerjasama lebih erat dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia peringkat Persekutuan dalam menyegerakan pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) George Town ke Bayan Lepas.

“Saya percaya dan yakin kolaborasi sedia terjalin ini mampu dieratkan lagi terutamanya dalam merealisasikan pembinaan projek transit aliran ringan (LRT) dan ‘Silicon Island’ yang ditunggu-tunggu oleh seluruh lapisan rakyat negeri ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kon Yeow memberitahu bahawa segala usaha menambah baik jaringan serta mod pengangkutan awam negeri dalam tempoh penggal pentadbiran Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ke-15 selama lima tahun ini adalah selari dengan Visi Penang2030.

ANTHONY Loke Siew Fook

Berucap sebelum itu, Siew Fook berkata bahawa Kerajaan Perpaduan Malaysia hari ini akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam mengikut perubahan semasa serta berdasarkan keperluan rakyat teramai.

Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan dalam pada itu turut komited dalam membantu Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang demi merapatkan jurang pembangunan infrastruktur berkaitan sektor pengangkutan antara bahagian pulau dan bahagian Seberang Perai.

“Matlamat Kerajaan (Persekutuan) adalah untuk menyediakan (mod) pengangkutan (awam) yang efisien, kondusif dan selamat dalam menyokong aktiviti ekonomi serta mobiliti rakyat.

“Pengoperasian feri baharu ini adalah contoh nyata bagaimana kita (Kerajaan Perpaduan Malaysia peringkat Persekutuan) terus berusaha meningkatkan infrastruktur pengangkutan bagi memenuhi keperluan semasa dan masa depan.

“Kalau sebelum ini perkhidmatan feri ini hanya menghubungkan antara bahagian pulau dan Seberang Perai sahaja, tetapi kita (Kementerian Pengangkutan adalah terbuka untuk melihat destinasi-destinasi lain di seluruh Pulau Pinang (termasuk) ada beberapa tempat yang ada jeti,” ulasnya sambil mencadangkan bahawa perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang turut dibuka untuk acara-acara korporat terpilih.

Turut berucap, Pengerusi Penang Port Sdn. Bhd., Dato’ Syed Mohamad Syed Murtaza.

Mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Timbalan Menteri Pelajaran merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying dan Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corpration Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh turut sertai majlis tersebut.

Dalam sidang media selepas itu, Siew Fook sekali lagi menjelaskan bahawa pengoperasian empat unit feri baharu Pulau Pinang setakat ini adalah mencukupi untuk memenuhi permintaan penumpang harian.

Justeru, beliau sekali lagi menyatakan bahawa kementeriannya tiada masalah sekiranya salah sebuah feri baharu itu dijadikan ‘feri sewaan’ jika ada permintaan daripada mana-mana pihak.

“Kalau ikut perangkaan, kita empat feri (baharu) dan itu sangat mencukupi, malah ada lebihan dan salah sebuah feri itu boleh digunakan sebagai produk pelancongan.

“Terpulang kepada pihak operator iaitu Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), mereka ada perancangan untuk menyediakan perkhidmatan feri sewaan.

“Jadi, mana-mana pihak swasta atau syarikat korporat atau individu yang mahu menyewa (feri baharu) untuk majlis keraian atau majlis tertutup ataupun acara permukiman pekerja mereka ataupun untuk ejen pelancongan yang mahu membawa kumpulan pelancongan belayar di Pulau Pinang, feri (baharu) boleh ditempah,” jelasnya.

Tambah beliau, kementeriannya masih belum memuktamadkan kadar tambang bagi Feri Baharu Pulau Pinang.

Selain itu, beliau berkata kementeriannya turut mengalu-alukan mana-mana firma swasta untuk menghidupkan semula pengoperasian feri lama di negeri Pulau Pinang.

“Feri lama juga ada perancangan itu juga (untuk mana-mana pihak membuat tempahan) di bawah PPC (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang).

“Kita (Kementerian Pengangkutan melalui PPC) juga mengalu-alukan mana-mana pihak swasta yang boleh membantu kita menghidupkan feri lama itu sebagai ‘feri pelancongan’, (syor) itu juga boleh kita bincangkan,” jelasnya sambil mencadangkan pengoperasian semula feri lama melalui inisiatif kewangan swasta (PFI).

Berhubungan cadangan mewujudkan perkhidmatan ‘teksi air’ dari kawasan perairan Pulau Pinang ke luar negeri ini, Anthony Loke berkata isu tersebut akan dibincangkan dalam kesempatan lain di Putrajaya.

7 Ogos lepas, Kon Yeow mengiringi Anthony Loke ke sesi acu pandu Feri Baharu Pulau Pinang dari Pelabuhan Swettenham dekat pinggir bandar raya Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Dalam sidang media semasa itu, Anthony Loke memberitahu Kon Yeow bahawa feri baharu tersebut pada satu-satu masa boleh membawa seramai 150 penumpang dan 50 kenderaan jenis motosikal dan basikal.

Menurutnya lagi, Feri Baharu Pulau Pinang tersebut dalam tempoh pandu uji akan beroperasi secara percuma selama sebulan mulai 7 Ogos; seawal 6.00 pagi hingga 8.30 malam dengan kadar kekerapan pada waktu puncak 30 minit sekali.

Buletin Mutiara difahamkan bahawa feri baharu jenis katamaran buatan Haiphong, Vietnam, setiap satu berharga RM18 juta.

Mula berlabuh di perairan dekat Butterworth pada Rabu lepas, keempat-empat feri baharu itu diberi nama Teluk Kumbar, Teluk Bahang, Teluk Duyung and Teluk Kampi.

Feri jenis katamaran baharu itu mempunyai ciri-ciri tertentu seperti fungsi pusingan 360 darjah, perjalanan dwi hala tanpa perlu memusingkan fizikal feri, dilengkapi ‘ramp’ pada kedua-dua hala pintu keluar masuk, kamera litar tertutup (CCTV), sistem pencegahan kebakaran serta reka bentuk sejagat mesra pelbagai gender termasuk orang kurang upaya (OKU).

Tempoh acu pandu bagi feri baharu tersebut adalah selama empat bulan sebelum diberi pentauliahan berwajib, sejak 7 Ogos lepas.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & M. VEKENESVARAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS