TYT rasmi Piala Bola Sepak Cina Dunia Evergreen Ke-24

GEORGE TOWN – Sebanyak 34 pasukan dari negara China, Sepanyol, Filipina, Australia, New Zealand, Singapura, Taiwan dan Malaysia bertanding merebut gelaran juara pada kejohanan Piala Bola Sepak Cina Dunia Evergreen edisi ke-24.

Kejohanan yang berlangsung selama enam hari mulai 11 hingga 15 September 2023 itu telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dekat Penang Sports Club, semalam.

Turut hadir, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Danial Gooi Zi Sen.

TYT Tun Fuzi Abdul Razak ketika merasmikan kejohanan Piala Bola Sepak Cina Dunia Evergreen Ke-24.

Semasa berucap, Zi Sen menekankan bahawa bola sepak merupakan salah satu acara sukan yang mampu menyatupadukan masyarakat tanpa mengira kaum dan peringkat umur.

“Hari ini bermulalah perlawanan bola sepak yang menarik dan beberapa kemahiran bola sepak menakjubkan akan ditunjukkan oleh para pemain veteran.

“Selain itu, kami juga berharap agar para peserta menggunakan peluang ini untuk meneroka negeri Pulau Pinang yang indah dan menikmati masakan di sini khususnya makanan jalanan,” katanya.

Antara aksi yang ditunjukkan oleh pasukan yang mengambil bahagian.

Difahamkan, Piala Bola Sepak Cina Dunia Evergreen Ke-24 adalah terdiri daripada lima kategori merangkumi kumpulan berumur 45 tahun dan ke atas, 50 tahun dan ke atas, 55 tahun dan ke atas, 60 tahun dan ke atas serta 65 tahun dan ke atas.

Oleh: VEKENESVARAN MAGANDRAN
Gambar: MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR