TYT sambut baik syor lawat semua daerah sempena hari lahirnya

TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (depan sekali) menandatangani plak perasmian pembukaan Pejabat Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, sambil disaksikan oleh Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (baris kedua, kiri) dan Sr. Rozali Mohamud (baris kedua, kanan) di perkarangan dalam Seri Mutiara di sini pada 22 Mac 2023.

GEORGE TOWN – Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak hadir menyempurnakan perasmian pembukaan pejabat Yayasan Amal TYT Pulau Pinang di perkarangan kediaman rasminya di Seri Mutiara pada 22 Mac 2023.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Pengerusi Yayasan Amal TYT Pulau Pinang; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud dan beberapa ahli lembaga pengarah yayasan tersebut turut sertai majlis berkaitan di sini.

Semasa berucap, Ahmad Fuzi berkata beliau menyambut baik cadangan penganjuran program jerayawara ke lima-lima daerah di Pulau Pinang sempena sambutan hari lahir beliau kelak.

“Daripada proposal yang saya terima, ada cadangan supaya pada program hari jadi saya, patut saya melawat semua daerah.

“Jadi, selepas pandemik (COVID-19) ini mungkin sesuai,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pasukan sukarelawan Yayasan Amal TYT Pulau Pinang di bawah teraju Rozali yang berjaya menganjurkan program-program berkaitan sejak ditubuhkan pada 26 Disember 2021.

Diperbadankan pada 26 Januari 2022, Ahmad Fuzi berkata ‘pasukan’ Rozali turut dapat memberi tumpuan pada aspek meraih dana sumbangan secara kreatif bagi menjayakan program dalam kalender tahunan yayasan berkenaan.

Selain itu, Ahmad Fuzi berkata, kejayaan ‘pasukan’ Rozali melakukan pengauditan yayasan baru-baru ini dijangka akan memupuk lebih banyak kepercayaan dalam kalangan penyumbang dana pada masa hadapan.

Berucap sebelum itu, Rozali merakamkan penghargaan atas tunjuk ajar dan nasihat Ahmad Fuzi dalam merelevankan fungsi Yayasan Amal TYT Pulau Pinang dengan citarasa rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

“Seterusnya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tun (Ahmad Fuzi) yang begitu banyak memberi mesej tunjuk ajar…sangat bertenaga.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Tun (Ahmad Fuzi) kerana membenarkan tempat ini di (perkarangan) Seri Mutiara dijadikan sebagai Pejabat Yayasan (Amal TYT Pulau Pinang).

“Begitu juga dengan tunjuk ajar Tun (Ahmad Fuzi) selama ini, sangat memberi semangat dan menunjukkan hala tuju perjuangan (Yayasan Amal TYT Pulau Pinang) pada masa hadapan,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali turut merakamkan penghargaan atas sokongan tidak berbelah bahagi daripada Ahmad Zakiyuddin dan beberapa peneraju sektor korporat yang melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarelawan anjuran Yayasan Amal TYT Pulau Pinang selama ini.

Seusai majlis perasmian pembukaan Pejabat Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Ahmad Fuzi meraikan semua tetamu jemputan dalam majlis jamuan tengah hari di Dewan Seri Mutiara.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS