TYT sempurnakan penanaman pokok ke satu juta sempena Hari Bumi

Admin
dsc 7709

GEORGE TOWN – Sasaran penanaman satu juta pokok dalam sehari sempena Hari Bumi 2024 telah berjaya dicapai menjelang jam 11:30 pagi semalam.

dsc 7779
DATO’ Seri Sr. Rozali Mohamud ketika sesi sidang media semalam.

Penanaman pokok yang ke satu juta telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor dekat perkarangan Seri Mutiara di sini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud menyatakan rasa syukur kerana sasaran menanam satu juta pokok berjaya direalisasikan lebih awal dari jangkaan.

“Menjelang 11:30 pagi, Tun (Ahmad Fuzi) telah berjaya menyempurnakan penanaman pokok yang ke satu juta.

“Usaha ini tidak akan berjaya hanya dengan sokongan beberapa pihak, saya juga yakin dengan penglibatan komuniti, sektor kerajaan, badan korporat dan sukarelawan, program ini dapat mewujudkan sinergi penjagaan alam sekitar yang berkekalan dalam kalangan masyarakat.

“Justeru, kunci kejayaan kepada program ini memerlukan penglibatan daripada semua pihak terutamanya dalam memuat naik setiap rakaman ke aplikasi khusus program ini iaitu ‘1 Million Tree Penang’ untuk mencapai hasil yang optimum ini,” ujarnya semasa sesi sidang media program berkenaan pada 22 April 2024.

dsc 7769

dsc 7702
MOMEN penanaman pokok ke satu juta yang berjaya dirakam sempena Hari Bumi baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Rosli Isa serta barisan dif-dif jemputan yang lain.

Dalam sesi yang sama, Rozali turut menyatakan pengiraan terakhir penanaman pokok melalui aplikasi ‘1 Million Tree Penang’ adalah pada jam 5.00 petang semalam.

“Oleh itu, diharapkan manfaat yang dicapai melalui program ini dapat melindungi dan mengembalikan ekosistem semula jadi, membawa kehijauan kepada komuniti, kelestarian alam sekitar, sosial dan ekonomi selari dengan Visi Penang2030 dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” ulasnya lanjut.

Difahamkan, daripada lebih sejuta pokok yang ditanam, sebanyak 250,000 pokok dibekalkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP, 150,000), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP, 150,000), Tenaga Nasional Berhad (TNB, 50,000), Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang (35,000), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC, 19,000), lima Pejabat Daerah yang mana masing-masing akan menyumbangkan 100,000 batang pokok.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT