TYT sempurnakan program menanam 2,000 pokok Bakau Minyak

PENAGA – Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak hadir menyempurnakan program penanaman 2,000 batang anak pokok bakau minyak dekat Sungai Tembus, Kuala Muda di sini pada 22 Oktober 2023.

Program anjuran Yayasan Amal TYT Pulau Pinang bertemakan ‘Sustainability Through Mangrove Reforestation’ itu disertai oleh 250 sukarelawan dan 20 rakan strategik dari sektor awam dan industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud berkata pelaksanaan program tersebut bakal memberi manfaat kepada 6,000 nelayan di negeri ini memandangkan pokok bakau mempunyai nilai ekonomi berganda.

TYT menyempurnakan gimik penyerahan anak pokok Bakau Minyak kepada wakil penaja.

“Kawasan Teluk Air Tawar sampai ke Kuala Muda termasuk Sungai Tembus sepanjang 8 kilometer (km) adalah satu-satunya kawasan penting burung dan diversiti atau dinamakan Importan Bird Area oleh Bird International.

“Kawasan ini diiktirafkan sebagai kawasan burung-burung pantai dan burung-burung air ya g hijrah, berehat dan singgah di sini apabila musim salji dan sejuk di Benua Utara.

“Setiap tahun mulai September, apabila mulanya musim sejuk di Benua Utara, kira-kira 20,000 ekor burung laut, burung pantai dan burung air akan bermigrasi ke kawasan ini,” ujarnya ketika berucap.

Para sukarelawan mula menanam pokok Bakau Minyak.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Rosmin Yaakob; wakil-wakil syarikat penaja serta ramai lagi.

Tambah Rozali, sebanyak enam spesies terancam secara global telah direkodkan di kawasan tersebut Seperti Kedidi Paruh Sudu, Kedidi Kaki Hijau Berbintik, Bangua Cina, Kendi Besar Timur, Kedidi-Dian Besar dan Sekendi Suku Muka Hitam.

“Di samping itu, di kawasan ini terdapat sekurang-kurangnya 3,000 ekor burung air tempatan seperti bangau, pucung, sintar, pangling, tiong air, ayam-ayam, ruak-ruak, upeh dan komoron.

Pokok Bakau Minyak yang siap ditanam.

“Justeru, mengambil kira betapa pentingnya lokasi ini, saya cadangkan supaya kawasan ini dicalonkan sebagai tapak Ramsar supaya ia dapat dipelihara dan menjadi tarikan pelancong khususnya birt watching tourism yang akan menjana ekonomi tempatan,” saran beliau.

Difahamkan, program menanam 2,000 pokok bakau minyak di Sungai Tembus, Kuala Muda adalah melibatkan kawasan berukuran 1.5 hektar.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambaf : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS