TYT zahir kesyukuran ekonomi negeri kian pulih, memberangsangkan

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (kanan sekali) menyematkan anugerah pingat kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh Chow Kon Yeow (duduk, kiri) dan isteri, Tan Lean Kee (duduk, kanan) dalam Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun TYT yang Ke-73 di Dewan Sri Pinang pada 23 Julai 2022.

GEORGE TOWN – Rekod RM76.22 bilion nilai pelaburan pembuatan bagi tahun 2021 bukan sahaja menjadikan Pulau Pinang berada pada kedudukan paling tinggi berbanding negeri-negeri lain, bahkan sekali gus menunjukkan tanda-tanda pemulihan keadaan ekonomi negeri yang memberangsangkan.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyampaikan amanat itu semasa berucap dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahunnya yang Ke-73 di Dewan Sri Pinang di sini pada 23 Julai 2022.

“Kerajaan Negeri telah membuktikan kemampuan untuk mengemudi negeri dan melaksanakan pelan-pelan tindakan yang berjaya memastikan kelangsungan hidup rakyat.

“Alhamdullilah, keadaan ekonomi negeri telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan,” jelasnya sambil berpendapat bahawa sektor pelancongan negeri juga kian rancak dengan kebanjiran pengembara asing dan pengunjung domestik.

Di samping itu,Ahmad Fuzi berkata bahawa dalam tempoh pemulihan ekonomi pada waktu ini menyaksikan negara dan negeri menghadapi pelbagai cabaran lain termasuk gangguan rantaian bekalan yang melibatkan tenaga kerja serta bekalan cip semikonduktor.

“Cabaran-cabaran ini sebenarnya dihadapi di seluruh dunia.

“Bagaimanapun saya yakin, dengan asas-asas ketahanan yang dibina selama ini, jalinan rangkaian infrastruktur dan industri yang kukuh serta kerjasama awam-swasta, cabaran cabaran pemulihan ekonomi yang dihadapi akan dapat diatasi bersama,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Fuzi memberitahu bahawa rakyat negeri Pulau Pinang patut berasa bertuah berada dalam keadaan aman dan damai di bawah Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

“Saya yakin Visi Penang2030 yang telah diperkenalkan, akan terus disokong rakyat sepenuhnya bagi mencapai matlamat menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang dibanggakan,” ulasnya lanjut.

Sementara itu, Kon Yeow dalam ucapannya memberitahu bahawa Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.8 peratus bagi tahun 2021 walaupun pada peringkat global menyaksikan ketidakpastian ekonomi.

“Kerajaan Negeri dengan ini akan memastikan kesinambungan kecemerlangan kini dapat diteruskan melalui pelaksanaan projek-projek dan kepelbagaian program berteraskan rakyat supaya manfaat pembangunan dapat dirasai bersama oleh seluruh lapisan masyarakat di negeri ini,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut

Pada kesempatan sama, Kon Yeow mewakili Kerajaan Negeri termasuk pegawai-pegawai, kakitangan perkhidmatan awam dan rakyat sekalian turut melafazkan berikrar akan senantiasa taat setia kepada TYT, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Perlembagaan Malaysia dan negeri Pulau Pinang serta negara Malaysia yang tercinta.

Selain Kon Yeow, Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy turut menyertai penyampaian anugerah hari pertama yang melibatkan seramai 193 orang penerima.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN & LAW SUUN TING
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD