Ubah tabiat komuniti mampu realisasi RoL

6415e18f fe12 40af beb2 cbb463bb77e0 KETUA Menteri (duduk, depan, kiri) dan Datuk Bandar MBSP (duduk, depan, kanan) turut menelusuri Sungai Juru, seusai menyempurna Majlis Perasmian Program Pembersihan Sungai Juru di sini pada 21 Disember 2024.

BUKIT TENGAH – Sisa pepejal seperti botol plastik minuman, beg plastik sekali guna, kotak kertas dan tayar terpakai seberat lebih 205 kilogram (kg) berjaya dikutip dalam program gotong-royong membersihkan Sungai Juru sebentar tadi.

0c64e08e 7978 42e5 bee7 ed99b4236537
KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian Program Pembersihan Sungai Juru anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dekat kawasan lapang River Park Auto-City Juru di sini pada 21 Disember 2024.

Semasa merasmikan program memperkasa komuniti tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi antara lain berkata bahawa pentadbirannya senantiasa menyokong segala aktiviti komuniti setempat ke arah merealisasikan Sungai Nadi Kehidupan (RoL) di negeri Pulau Pinang termasuk tanah besar Seberang Perai.

“Saya merasakan (program gotong-royong membersihkan Sungai Juru) seumpama ini merupakan keprihatinan kita (Kerajaan Negeri), MBSP, jabatan kerajaan, agensi dan komuniti dalam mewujudkan RoL di Sungai Juru ini.

“Apa jua program yang melibatkan perubahan tabiat komuniti dengan pelaksanaan program-program berkaitan demi mengubah alam sekitar serta lembangan sungai sekitar negeri kita supaya lebih bersih, hijau, sihat dan selamat,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dalam Majlis Perasmian Program Goyong-Royong Pembersihan Sungai Juru di River Park Auto-City Juru di sini.

Program berkaitan dianjurkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bersama-sama beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

f4c62182 8322 4dfe 986f 4dff45de8468
GAMBAR dua sukarelawan sedang mengutip sampah dari atas bot di Sungai Juru, antara yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara tadi.
b3858662 faae 4381 8651 954621a3140b
GAMBAR pelbagai jenis sampah sarap yang berjaya dikutip dari Sungai Juru di sini menjelang tengah hari tadi.

Berucap sebelum itu, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid menyatakan bahawa pentadbirannya menerusi Bahagian Persekitaran Mampan, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP komited memperkasa Local Agenda 21 yang mana lahir daripada Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Tentang Alam Sekitar dan Pembangunan (UNCED) @ Sidang Kemuncak Bumi (Earth Summit) di Rio de Jeneiro di Brazil pada Jun 1992 serta dihadiri perwakilan 178 negara termasuk Malaysia.

Menerusi Local Agenda 21, menurut beliau, MBSP merasakan pelbagai masalah dan penyelesaian peringkat akar umbi komuniti dapat ditangani dengan penganjuran kegiatan tempatan serta melibatkan pelbagai pihak.

2bbd5f21 463f 442b 96a3 ccb25598005f
SEKALIAN anggota sukarelawan dari pelbagai pertubuhan yang menyertai majlis gotong-royong Program Pembersihan Sungai Juru anjuran MBSP di sini sejak 8.30 pagi tadi.

Dalam kenyataan bertulis kemudian, Ahli Majlis MBSP, Rachel Teh Chuann Yien menyatakan bahawa program pembersihan Sungai Juru sepanjang 6 kilometer (km) adalah melibatkan 13 titik semak serta 13 kumpulan sukarelawan.

Mereka, kata beliau adalah dari Jabatan Pengairan & Sungai (JPS), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Gloden Highway Auto-City Sdn. Bhd. (Autocity Group), TKM Chemical Sdn. Bhd., WonderWorks, Women Engineers (WE), Fraser & Neave, JCI Batu Kawan, Persatuan Bomba Sukarela Kawasan (Padang Lalang, Juru, Taman Sukun, Kampung Cross Street dan Bukit Mertajam), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Seberang Perai Tengah, Persatuan Penyelamat Blue Sky Malaysia, Persatuan Keselamatan Sukarela Negeri Pulau Pinang dan Malaysia Nature Society.

“Usaha ini mencerminkan komitmen kami untuk memelihara alam sekitar dan menyatukan komuniti melalui moto saya iaitu ‘Kerjasama Awam, Swasta, dan Rakyat’.

“Kami akan terus memantau keadaan Sungai Juru dan merancang program pembersihan berkala bersama komuniti serta pihak swasta,” ujarnya.

Beberapa Ahli Majlis bagi MBSP turut sertai program memperkasa komuniti dalam merealisasikan RoL di Sungai Perai tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS