Ulang tahun ke-50, PDC diharap terus pamer prestasi cemerlang, bawa faedah kepada pembangunan negeri – Kon Yeow

Admin

PANTAI JEREJAK – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) diharap terus mempamerkan prestasi memberangsangkan sempena sambutan ulang tahun penubuhannya yang ke-50 tahun ini.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi PDC, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika berucap melahirkan harapan agar ulang tahun tersebut turut membawa banyak faedah kepada PDC dan pembangunan negeri Pulau Pinang.

“Dengan cabaran ekonomi yang dihadapi sekarang, semoga PDC akan terus kekal stabil di dalam menghadapi perubahan keadaan ekonomi negara,” ujarnya sempena Majlis Sambutan Tahun Baru Cina PDC di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus, Dato’ Rosli Jaafar (Pengurus Besar PDC), kakitangan PDC serta anak-anak syarikatnya.

Pengerusi Majlis Sambutan Tahun Baru Cina, Loo Chang Soo turut berucap sebelum itu.

Dalam majlis sama, Kon Yeow turut memaklumkan perkhidmatan akhir Rosli yang akan tamat pada tahun ini.

“Kita (warga PDC) semua maklum, Pengurus Besar PDC, Dato’ Rosli akan tamat perkhidmatannya, dan beliau amat berjasa kepada PDC selama ini.

“Jadi, dengan penukaran kepimpinan yang baharu kelak, diharap PDC dapat melihat cabaran-cabaran yang ada dan terus menunjukkan prestasi baik dalam menjana serta membawa pembangunan ekonomi negeri sepertimana diharapkan apabila perbadanan ini ditubuhkan di bawah Enakmen Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang 50 tahun dahulu.

“Justeru, saya menyeru semua warga PDC untuk terus kekal bersatu padu di bawah kepimpinan PDC serta Kerajaan Negeri untuk menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang pada tahun ini dan juga tahun-tahun akan datang,” serunya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD