Ultrasound Handheld tingkat kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan, harap diperluas di semua Jabatan Kecemasan seluruh negara – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Jabatan Kecemasan Hospital Seberang Jaya, Hospital Kepala Batas dan Hospital Bukit Mertajam kini dilengkapi dengan teknologi peranti ultrasound terkini yang dikenali sebagai Ultrasound Handheld.

 

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, sejajar dengan Revolusi Perindustrian 4.0 kini  kecanggihan teknologi mampu digembleng di dalam perawatan pesakit.

 

“Teknologi ultrasound memainkan peranan penting bagi pakar, doktor mahupun paramedik untuk mendiagnosis pesakit.

 

“Ini (Ultrasound Handheld) adalah inovasi terbaik yang boleh meningkatkan lagi kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan kepada pesakit sekaligus memudah cara para doktor untuk menjalankan tugas dan memberikan diagnosis yang lebih cepat dan tepat,” ujarnya ketika merasmikan 1st Northern Region Ultrasound Handheld Course (NRUSH) di sini pagi ini.

 

 

 

Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang (Perubatan), Dr. A. Elizabeth, Dr. Rafidah Md. Noor (Ketua Cawangan Pembangunan Kesihatan Keluarga),  Dr. Norhasimawati Abdul Mutalib (Pengarah Hospital Kepala Batas) dan  Dr. Nur Aslina Bahakodin (Pengarah Hospital Bukit Mertajam).

 

Difahamkan, Malaysia muncul negara pertama di Asia yang menggunapakai peranti Ultrasound Handheld di 25 hospital dan Jabatan Kecemasan seluruh negara.

 

Justeru, Afif menzahirkan harapan agar penggunaan teknologi ultrasound handheld tersebut diperluaskan lagi di kesemua Jabatan Kecemasan hospital seluruh negara.

 

“Sebenarnya ia tidak memerlukan kos yang terlampu tinggi iaitu seunit sekitar RM50,000 sahaja dan harganya adalah separuh daripada kos ultrasound konvensional yang diguna pakai kini.

 

“Malah, dengan saiznya yang kecil, ia juga sesuai diguna pakai diluar hospital dan saya percaya dengan kecanggihan teknologinya ia boleh dibawa ke lapangan untuk digunakan.

 

“Walau bagaimanapun, terpulanglah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana isu besar yang dihadapi kini adalah penyelenggaraan peralatan perubatan sedia ada.

 

“Saya dimaklumkan, kebanyakan peruntukan kini digunakan untuk memulihkan dan menggantikan alatan-alatan perubatan ini kepada yang lebih canggih dan baru,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

 

Dalam pada itu, menurut Pengarah Jualan Marche World (M) Sdn. Bhd. yang juga pengedar sah ultrasound handheld di Malaysia, Shuhaimi Alang Mahat berkata hasil ultrasound yang dilakukan ke atas pesakit boleh dilihat dan dicapai melalui aplikasi khas yang dimuat turun melalui telefon bimbit, laptop ataupun iPad.

 

“Capaiannya boleh dikongsi bersama lima peranti berasingan dan melalui teknologi clarius cloud membolehkan doktor mendapatkan pendapat kedua daripada konsultan mahupun pakar dengan cepat meskipun berada pada lokasi berbeza.

 

“Malah, melalui capaian internet peranti ini membolehkan penghantaran langsung (live transmission) dilakukan,” jelas beliau.