Umum diseru laporkan insiden curi pokok Gaharu

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

POKOK gaharu yang baru ditebang secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.
POKOK gaharu yang baru ditebang secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

KEBUN BUNGA – Pencerobohan dan kecurian pokok Tengkaras atau lebih dikenali sebagai pokok Gaharu oleh individu yang tidak bertanggungjawab mendapat perhatian Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah berkata, pihaknya telah menerima beberapa laporan pencerobohan dan kecurian sejak tahun lalu dan sehingga kini, pihaknya telah berjaya memberkas seorang individu yang mencuri hasil pokok Tengkaras.

“Saya percaya dan berharap orang awam terutamanya para pencinta alam sekitar dapat melaporkan sekiranya ada aktiviti mencurigakan di hutan-hutan simpan kepada Jabatan Perhutanan supaya kita dapat tangkap individu yang tidak bertanggungjawab ini.”

KETUA Menteri memegang cebisan pokok Gaharu yang ditebang secara haram sambil diperhatikan Phee Boon Poh (kanan sekali) dan wakil JPNPP dalam lawatan khas ke Taman Botani Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri memegang cebisan pokok Gaharu yang ditebang secara haram sambil diperhatikan Phee Boon Poh (kanan sekali) dan wakil JPNPP dalam lawatan khas ke Taman Botani Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

“Penceroboh bukan sahaja daripada warga tempatan, malah, warga asing yang menebang pokok Tengkaras ini dan diseludup ke negara jiran,” tambah Guan Eng yang turut menyatakan bahawa nilai pasaran bagi sekilogram pohon tersebut boleh mencecah RM20,000.

Oleh itu, baru-baru ini beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh dan beberapa wakil dari Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) meninjau sendiri ke kawasan pokok Tengkaras yang tumbuh meliar di Taman Botani Pulau Pinang.

“Mereka turut menjadikan hutan taman botani, hutan kekal di Cherok Tok Kun dan Bukit Panchor di Nibong Tebal sebagai lokasi untuk menjalankan kegiatan penyeludupan”.

“Mencuri hasil tumbuhan yang meliar sebenarnya sesuatu yang merugikan dan perlu dihentikan segera,” tegas beliau yang turut menyarankan pemantauan berkala oleh JPNPP.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar diwujudkan sebuah jawatankuasa bertindak bagi mengadakan operasi bersepadu untuk membendung modus operandi individu yang tidak bertanggungjawab berkenaan.

“Kesannya dapat dilihat dalam jangka masa panjang sekiranya kegiatan ini tidak dibendung. Pokok gaharu yang ditebang secara haram boleh menyebabkan hakisan permukaan tanah ketika hujan. Ini akan mengganggu dan memusnahkan ekosistem kawasan ini,” ujar Guan Eng yang turut mendaki ke kawasan pohon tengkaras bersama isteri beliau, Betty Chew dan pihak media massa.

Pokok Tengkaras atau nama saintifiknya ‘aquilaria malaccensis’ mendapat permintaan tinggi di pasaran kerana nilai komersialnya yang tinggi.

Lapisan luar kayu Gaharu ini boleh diproses untuk dijadikan minyak gaharu (pewangi) dan bahan tambahan produk-produk kosmetik. Malah, pangkal teras pohon gaharu yang dibakar mampu menghasilkan aroma yang menyegarkan.

Bagi sebarang maklumat lanjut atau laporan kegiatan penebangan haram, bolehlah menghubungi JPNPP di talian 04 – 650 5250 atau pejabat renjer Teluk Bahang di talian 04 – 885 1280.