PROJEK menaik taraf Stesen Bukit Bendera (Fasa 4) telah siap sepenuhnya dan majlis perasmiannya turut diadakan pada 3 Februari lalu yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Difahamkan, melalui projek penaiktarafan tersebut, Stesen Bukit Bendera kini berupaya menampung lebih 700 pengunjung pada satu-satu masa selain turut dilengkapi dengan pelbagai fasiliti demi kemudahan pdan keselesaan pengunjung.
Justeru, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR cuba mendapatkan maklum balas lanjut daripada beberapa orang pengunjung berhubung kemudahan baharu yang disediakan di kawasan pelancongan ikonik itu.
Bagi pesara, R. SINAPPAN, 71, yang pertama kali menjejakkan kaki ke Stesen Bukit Bendera memuji usaha yang dilaksanakan oleh Perbadanan Bukit Bendera (PHC) kerana berupayamenyediakan kemudahan di bahagian Fasa 4 khususnya untuk warga emas.
“Alang-alang masih lagi cuti sekolah, saya datang bersama-sama keluarga dari Perak, di kala mereka bersiar-siar dan meneroka keseluruh Bukit Bendera, saya dan isteri dapat duduk berehat di kawasan Fasa 4 ini.
“Tempat duduk di sini juga banyak, ditambah pula dengan kemudahan tandas awam yang disediakan, mudah untuk kami berdua singgah.
“Walaupun ini kali pertama saya ke sini, saya amat suka akan kemudahan yang disediakan dan yakin PHC telah mengambil kira keperluan semua lapisan usia yang datang berkunjung semasa melaksanakan projek menaik taraf sebelum ini,” jelasnya lanjut.
Selain itu, FARAH SEPHIA MISBAH, 22, berkata ini merupakan kali ketiga dia berkunjung ke Bukit Bendera dan sedar akan perubahan yang dilaksanakan di Stesen Bukit Bendera.
“Sebelum ini, kebiasaannya saya akan duduk dan berehat di kawasan astaka atau dataran tetapi dengan adanya ruang Fasa 4 ini, saya dan sekeluarga boleh duduk dan menikmati pemandangan di sekitar Pulau Pinang.
“Bukan itu sahaja, bagi mereka yang datang bersama dengan golongan warga emas atau orang kurang upaya (OKU) boleh menggunakan lif perkhidmatan yang tersedia, eskalator juga ada di sini,” ujarnya yang berasal dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
MOHAMAD MEHREZ ABDUL yang berasal dari Mesir pula menyatakan bahawa kedatangannya ke Bukit Bendera adalah selepas mendapat saranan daripada rakan-rakan terdekat.
“Ini merupakan kali pertama saya dan isteri melancong ke Pulau Pinang dan salah seorang rakan telah mencadangkan kami untuk datang ke sini.
“Saya amat kagum dengan pemandangan yang boleh dilihat dari teropong yang tersedia di bawah, kemudian apabila naik ke ruang Fasa 4 pula, saya rasa lebih tenang sambil menikmat iangin yang bertiup sepoi-sepoi.
“Apabila berjalan sedikit ke bahagian luar terdapat laluan tangga yang menghubungkan ke Restoran David Brown, jadi sejurus melihat pemandangan indah, kita boleh menikmati kopi yang sedap pula,” responnya.
Selain itu, SIM SENG TEONG pula memuji PHC dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana berjaya meningkatkan tarikan Bukit Bendera sebagai destinasi pelancongan berorientasikan kekeluargaan.
“Saya datang berkunjung ke sini bersama anak-anak dan juga ibu bapa, saya dan suami hanya bersiar-siar di kawasan ini sementara mereka pula sedang menikmati keindahan pemandangan di ruang Fasa 4.
“Dapat dilihat mereka amat menggemari ruangan tersebut dek mempunyai kemudahan tandas awam, kedai serbaneka dan juga terlindung dari panas matahari,” katanya sambil menyatakan bahawa ruangan tersebut kini tidak lagi sesak dengan bilangan pengunjung.
Turut memuji keadaan terkini Stesen Bukit Bendera ialah MARDHATI ABBAS yang menyifatkan Fasa 4 mempunyai sudut yang lebih luas untuk merakam gambar kenang-kenanganyan berlatarbelakangkan pemandangan indah Pulau Mutiara.
“Saya dah keluarga banyak menangkap gambar sejak tiba di sini sebagai kenang-kenangan, apabila naik ke ruang Fasa 4 pula lebih banyak lagi gambar kami ambil kerana sangat cantik.
“Anak lelaki saya juga suka duduk di sini kerana tidak panas, kami berhenti rehat sebentar sebelum ke kawasan astaka dan sebagainya,” tambahnya.