PERMATANG PASIR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man berkata, undang-undang anti lompat parti yang mahu digubal serta direalisasikan Kerajaan Negeri merupakan satu kaedah yang mendekati sistem integriti Islam.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai cadangan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng untuk mengemukakan proposal undang-undang itu ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Secara idealnya, referendum lebih mendekati politik yang sihat, tapi dalam konteks amalan demokrasi di negara sekarang ini menyaksikan apa yang dipersetujui oleh parti-parti yang memerintah akan menjadi dasar negeri atau negara, maka undangundang pencegahan diperlukan.
“Seperti kudeta di Perak, lompat parti mengakibatkan sebuah kerajaan jatuh dan bawa mudarat (keburukan) kepada rakyat terbanyak, maka, perlu pada sistem ‘sad az-zara’i’ atau langkah pencegahan seperti undang-undang anti lompat parti ini.
“Lompat parti mengakibatkan dasar-dasar kebaikan yang memberi maslahah (kebaikan) pada rakyat, pada negeri (Pulau Pinang) dan pada system demokrasi yang sedia ada itu sendiri tidak mampu dicapai akibat tiada langkah pencegahan pada anasir rasuah, pengkhianatan serta memperjudi masa depan rakyat seperti di Perak,” ujarnya dalam Masjlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di sini baru-baru ini.
Selain Guan Eng, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut hadir dalam keraian yang dihadiri lebih 5,000 orang itu.
Pun begitu, Mohd. Salleh yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, referendum secara idealnya lebih mendekati sistem ijmak (kesepakatan dalam kalangan ummah) yang menjadi salah satu sumber hukum syarak.
“Dalam konteks sekarang, undang-undang anti lompat parti ini adalah sistem terbaik ke arah politik yang sihat. Masa depan, mungkin referandum atau pungutan suara lebih baik ke arah politik sihat.
“Sebenarnya referandum itu sendiri bukanlah terlalu ideal kerana page-page (laman) dalam banyak-banyak isu diwujudkan dalam facebook untuk mendapatkan referandum maya daripada avatar-avatar laman sosial itu.
“Inilah pentingannya sistem. Islam mementingkan system sebab itu ada perihal maqasid asy-syariah, sad az-zara’i dan fiqh al-muwazanah umpamanya.
“Khalifah Saidina Ali pun ada berkata, ‘kebatilan dengan perancangan mampu mengalahkan kebenaran yang tak terancang’. Jadi, Pulau Pinang memerlukan sistem terancang demi kebenaran,” ujar beliau.