Undi calon ‘Perpaduan’ demi pembangunan lima tahun akan datang Pulau Pinang – Kon Yeow

Admin
CHOW Kon Yeow

SUNGAI PINANG – Ribuan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membanjiri jalan utama dekat Persiaran Karpal Singh di sini pada malam ini bagi mengikuti ceramah mega Perpaduan, sebelum hari pembuangan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada hari esok (12 Ogos 2023).

Ketua Menteri ‘Caretaker’, Tuan Chow Kon Yeow berkata semua calon Perpaduan yang bertanding atas tiket PH dan BN mesti menang dalam PRN ini untuk kelangsungan pembangunan bagi tempoh lima tahun akan datang di Pulau Pinang.

CHOW Kon Yeow

Justeru, calon Perpaduan bagi N.26 Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota berkenaan merayu sekali lagi kepada semua pengundi berdaftar supaya memberi mandat kepada Perpaduan bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang dengan majoriti dua pertiga.

“Saya menjadi Ketua Menteri ‘Caretaker’ sehingga jam 12.00 tengah malam ini, kalau pengundi mahu saya kembali menjadi Ketua Menteri bagi penggal berikutnya, pastikan pengundi memberi undi kepada semua calon Perpaduan esok (12 Ogos 2023),” jelasnya yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang merangkap Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri.

Di samping itu, beliau sekali lagi merakamkan penghargaan kepada PH dan DAP kerana bersetuju menamakannya sebagai calon Ketua Menteri jika Perpaduan diberikan mandat pasca PRN ini.

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh akan meneruskan usaha memakmurkan rakyat, 10 tahun sebagai Exco (sejak tahun 2008) dan satu penggal sebagai Ketua Menteri (sejak 2018),” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

BARISAN pemimpin Perpaduan yang hadir.
RIBUAN penyokong Perpaduan yang hadir di perkarangan Persiaran Karpal Singh di sini tadi.

Berucap pada pentas sama, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata gabungan parti itu juga sebulat suara bersetuju dengan syor BN supaya Kon Yeow ditaklifkan sebagai Ketua Menteri jika calon Perpaduan memang dan berjaya menubuhkan Kerajaan Negeri esok.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong pula berkata beliau yakin barisan calon Perpaduan Pulau Pinang akan terus mendapat undi majoriti pada hari esok berdasarkan rekod tadbir urus Chow Kon Yeow dalam memakmurkan ekonomi rakyat sepanjang penggal pentadbiran Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sejak 2018.

“PRN Pulau Pinang bukan sahaja akan membawa mesej mandat yang lebih kukuh untuk Saudara Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri (di negeri ini), malah membawa mesej kepada seluruh negara bahawa Pulau Pinang menyokong kuat Datuk Seri (Utama) Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bagi Kerajaan Perpaduan Malaysia (peringkat Persekutuan).

“(Justeru,) kita sangat memerlukan Kerajaan Perpaduan Malaysia, juga Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang untuk memastikan negeri ini menjadi jaguh pelaburan dan ekonomi negara selepas PRN ini,” jelasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Johor.

Selain barisan Calon Perpaduan, turut berucap di pentas mega pada malam ini adalah Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Selamat mengundi!