GEORGE TOWN – Program Uni Enrol Scholar Search (Uni Enrol) memberi peluang kepada para pelajar lepasan sekolah menengah mendapatkan biasiswa mengikut kelayakan masing-masing bagi menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, program tersebut merupakan salah satu platform alternatif dalam menyediakan biasiswa pendidikan kepada pelajar.
“Program ini turut mendapat kerjasama pakar-pakar yang mempunyai pengetahuan dalam membantu para pelajar untuk membuat keputusan yang tepat dalam memilih jurusan dan kerjaya yang diinginkan.
Saya difahamkan terdapat 84 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima biasiswa berjumlah RM924,215.95 pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya RM652,263.40 (48 pelajar).
“Program ini bukanlah sesuatu yang baru bagi saya (kerana) pada tahun 2023, mereka menjemput saya untuk merasmikan jerayawara di Pulau Pinang.
“(Malah) program ini turut disokong Gabungan Penjaja-Penjaja Utara Malaysia untuk menyebar luas maklumat kepada umum,” ujarnya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Uni Enrol dan Perkenalan Acara Biasiswa Uni Enrol Scholar Search Pulau Pinang di sini pada 13 Mac 2024.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Uni Enrol, Cheah Ken Hoong; Pengarah Pendidikan Negeri, Abdul Said Hussain dan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan & Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan.
Pada majlis tersebut, turut diumumkan adalah acara promosi yang bakal dijalankan melalui jerayawara ke 33 kawasan di seluruh negara.
Sejak 2018, Uni Enrol telah membantu lebih 3,000 pelajar dengan jumlah biasiswa mencecah RM50 juta. Uni Enrol menyediakan platform pendaftaran universiti terbesar di Malaysia dengan perunding pendidikan yang berpengalaman.
Oleh : NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY