Uniqlo sumbang pakaian kepada Pusat Transit Gelandangan

 dsf2867

GEORGE TOWN – Pusat Transit Gelandangan di Jalan C.Y Choy bekerjasama dengan syarikat pakaian Uniqlo untuk menyediakan pakaian kepada penghuni pusat transit terbabit.

 

Menurut Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim, pembukaan seksyen pakaian itu akan membuatkan penghuni di situ berasa lebih selesa dan tampil yakin.

 

“Seperti yang kita ketahui, pakaian adalah melambangkan peribadi, apabila penghuni di sini disediakan dengan pakaian yang lebih elok secara langsung akan menambahkan keyakinan dan keterampilan mereka di luar.

 

“Saya percaya projek ini mampu menjadikan mereka berdiri sama taraf dalam masyarkat, saya juga percaya dalam kalangan mereka sendiri pun tiada yang minta dilahirkan sebagai gelandangan.

 

“Justeru, projek kolaborasi seperti ini diharap mampu membantu golongan memerlukan di samping tidak menyisihkan mereka daripada kelompok masyarakat,” ujar beliau ketika melawat seksyen pakaian sumbangan Uniqlo di Pusat Transit Gelandangan di sini pagi tadi.

 

 dsf2849

Turut hadir, Pengurus Pusat Transit Gelandangan, Nazatulwanis Mohd. Khorish dan Director Sustainability Uniqlo, Evelyn Tan.

 

Selain baju kasual, Uniqlo turut menyediakan pakaian bersesuaian sekiranya penghuni dipanggil untuk sesi temuduga.

 

Difahamkan, projek ini akan dijalankan secara berterusan.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD