PULAU Pinang merupakan negeri kelima di negara ini yang telah mewujudkan Unit Pengurusan Bencana (UPB) bagi tujuan mengintegrasikan pergerakan bantuan ketika berlakunya bencana.
Ketua Unit Pengurusan Bencana, D. AMBIKA DEVI berkesempatan berkongsi sedikit sebanyak latar belakang UPB dalam sesi wawancara khas bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL dan jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR baru-baru ini.
Menurut Ambika Devi, UPB telah diwujudkan pada April tahun lepas dan dibahagikan kepada empat pecahan unit.
“Pertama, unit Data dan Perancangan yang berfungsi sebagai sistem pengumpulan data terdahulu seperti jumlah mangsa terlibat serta kerosakan termasuk jumlah kerugian yang dialami.
“Seterusnya adalah unit Pentadbiran dan Kewangan yang berfungsi untuk menguruskan penyaluran tabung amanah krisis yang dibiayai oleh NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara).
“Selain itu, terdapat juga unit Jaringan Luar dan Kapasiti yang lebih terarah kepada penganjuran program kesedaran serta bengkel-bengkel simulasi sebagai pendedahan menangani bencana kepada umum.
“Akhir sekali, unit Operasi dan Pasca Bencana yang berfungsi sebagai koordinator bagi daerah dan negeri, terutamanya dalam melaporkan bencana, penyaluran bantuan melalui agensi atau jabatan yang boleh dan telah bersiap sedia,” jelasnya lagi.
Tambah Ambika Devi, sesuatu bencana yang melanda juga telah diklasifikasikan kepada beberapa tahap mengikut keadaan yang berlaku.
“Untuk makluman, bencana tahap satu hanya melibatkan peringkat daerah manakala bencana tahap dua melibatkan dua daerah atau lebih dan bencana tahap tiga melibatkan beberapa negeri yang terkesan akibat bencana tersebut.
“Menurut mekanisme pengurusan bencana pula, sesuatu keadaan hanya boleh ditakrifkan sebagai bencana apabila ia tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat serta memerlukan penggemblengan tenaga kerja daripada banyak pihak.
“Kriteria lain adalah termasuk bilangan kehilangan nyawa, gangguan kepada aktiviti masyarakat, runtuhan bangunan, kebakaran struktur khas, empangan pecah, jerebu, dan juga pandemik,” tambahnya.
Dalam pada itu, Ambika Devi turut menekankan bahawa kerjasama yang erat dalam kalangan pihak berkepentingan amat penting dalam mengintegrasikan pergerakan bantuan melalui UPB.
“Sudah tentu kerjasama erat amat diperlukan terutamanya dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) serta pejabat daerah.
“Jaringan yang baik juga harus dibina bersama dengan NADMA yang merupakan pihak terpenting apabila berlakunya sebarang bencana di negara ini.
“Selain itu, Pegawai Daerah juga berfungsi untuk menyelesaikan permasalahan dan mengerahkan setiap agensi serta jabatan supaya bersiap sedia untuk ke lapangan.
“Dengan ini, kita dapat mewujudkan satu protokol penggemblengan aset dan tenaga apabila berlakunya bencana,” ujarnya sambil menyatakan staf UPB sentiasa bersiap siaga jika berlakunya sebarang kecemasan dan bencana.
Bercakap mengenai persediaan lain, Ambika Devi turut memaklumkan bahawa pelan tindakan Kerajaan Negeri dalam menangani bencana bakal disiapkan menjelang tahun 2025.
“Sebuah pusat logistik kemanusiaan bencana atau depoh bakal dibangunkan di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) melalui kolaborasi bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bakal siap menjelang tahun 2025.
“Di samping itu, Pusat Pemindahan Kekal (PPK) berkonsepkan Rehat dan Rawat (R&R) juga akan diwujudkan pada tahun hadapan yang mana PPK sementara kini terletak di Sekolah Kebangsaan (SK) Machang Bubok yang merupakan lokasi ‘hotspot’ bencana.
“Bukan itu sahaja, ekoran era pendigitalan kini, sebuah aplikasi pengesan bencana sedang dinaik taraf bagi penggunaan umum, laman sesawang seperti Penang Alert dan GeoBencana boleh diakses bagi mengetahui info lebih lanjut,” katanya menutup bicara.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR