Unit Polis Pelancong terima sumbangan basikal, tingkat kecekapan di kawasan tumpuan pelancong

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak 15 unit basikal bukit disumbangkan oleh Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE) kepada  Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bagi meningkatkan kecekapan dan penyampaian perkhidmatan Unit Polis Pelancong.

 

 

Exconya, Yeoh Soon Hin berharap sumbangan basikal tersebut dapat membantu anggota polis dalam membendung kejadian jenayah dan memudahkan interaksi dengan orang awam ketika rondaan di kawasan tumpuan pelancong sekitar bandar raya George Town.

“Persepsi rasa selamat (dalam kalangan pelancong) penting kerana ia menjadi kayu pengukur kepada kesejahteraan hidup rakyat.

 

“Namun usaha menjadikan negeri Pulau Pinang selamat untuk didiami bukan sahaja terletak di bahu pihak polis, ia memerlukan kerjasama semua pihak bagi membantu pihak polis menjalankan tugas menjaga keselamatan rakyat,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Basikal Kepada Unit Polis Pelancongan IPK Pulau Pinang kelmarin.

 

Hadir sama, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Suhaily Mohd. Zain dan kepimpinan tertinggi polis Pulau Pinang.

 

Tambah Soon Hin lagi, semua pihak perlu berganding bahu dan berusaha lebih proaktif untuk mengembalikan keyakinan masyarakat tempatan dan pelancong asing untuk kembali semula ke Pulau Pinang setelah tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih dua tahun dahulu.

“Kerajaan amat prihatin terhadap keperluan pasukan polis untuk meningkatkan keupayaan dalam menghadapi dan membanteras kejadian jenayah kerana soal keselamatan bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

Dalam sidang media, Soon Hin juga memaklumkan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan akan menambah jumlah basikal pada masa akan datang mengikut keperluan pihak polis.

Sementara itu, Mohd. Suhaily menyifatkan penggunaan basikal dalam membuat rondaan cegah jenayah adalah satu lonjakan positif serampang dua mata sejajar dengan keadaan semasa ekonomi Pulau Pinang dalam sektor pelancongan.

“Di samping dapat memudahkan penugasan anggota untuk mengambil tindakan terhadap kejadian jenayah atau kecemasan di kawasan yang sukar dilalui ia juga menganjurkan gaya hidup sihat dan mesra alam,” katanya lagi.

 

 

Text & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI