Unit Rumah Pangsa Blok 115 Jalan Kedah terima pengecualian cukai taksiran

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PADANG KOTA – Semua unit kediaman Rumah Pangsa Blok 115 Jalan Kedah di sini diperakukan pengecualian cukai taksiran bagi tahun 2016 dan 2017 oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) baru-baru ini.

Berita gembira itu disampaikan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, Chow Kon Yeow.

Menurut Kon Yeow yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, keputusan tersebut (memberi pengecualian cukai taksiran) telah dibuat oleh Kerajaan Negeri setelah meneliti laporan dikemukakan MBPP.

“Bagi pemilik premis yang sudah membayar cukai taksiran ini perlu mengisi borang dan hantar ke MBPP (dekat Komtar) bagi proses pemulangan wang,” ujarnya pada satu sidang media dekat Rumah Pangsa Jalan Kedah di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBPP, Cheong Chee Heong dan Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Rumah Pangsa Jalan Kedah, Teh Chai Hock.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa sebelum ini Kerajaan Negeri memberi pengecualian cukai taksiran bagi tahun 2016 dan 2017 bagi rumah kediaman yang berstatus kos rendah (KR) dan sederhana rendah (KSR).

“Namun kita (Kerajaan Negeri) dapati ada juga unit-unit yang dibangunkan PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) misalnya, tidak mempunyai status KR atau KSR setelah mendapat sijil layak menduduki (CF).

“Maka Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa rumah pangsa bersaiz 700 kaki persegi (kp) dan ke bawah atau harga jualan asal RM72,500 dan ke bawah, layak menerima pengecualian ini.

“Pemilik premis yang sama seperti kriteria disebutkan boleh mohon kepada MBPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk pengecualian cukai taksiran,” jelasnya.

Difahamkan, inisiatif Kerajaan Negeri mengecualikan cukai taksiran bagi pemilik rumah kediaman berstatus KR dan KSR mampu menjimatkan kos sehingga RM137 setahun.