Upacara angkat sumpah TYT baharu 1 Mei ini – Ketua Menteri

Admin
img 20250425 wa0051

GEORGE TOWN – Upacara mengangkat sumpah Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang kesembilan, Tun Ramli Ngah Talib dijadualkan berlangsung di Dewan Sri Pinang pada 1 Mei ini.

Pelantikan Ramli adalah bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang telah menyandang jawatan tersebut bermula 1 Mei 2021.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pelantikan Ramli telah disempurnakan mengikut Perkara 1 (1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Mei 2025 hingga 30 April 2029.

“Kini, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menguruskan beberapa perkara berkaitan bagi menyempurnakan upacara angkat sumpah dan acara-acara lain turut akan diumumkan kelak.

“TYT Tun Ramli Ngah Talib merupakan ahli politik serta pentadbir yang sangat berpengalaman, dan telah banyak menyumbang khidmat bakti kepada negara serta negeri Perak sejak beberapa dekad lalu.

“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan TYT (Tun Ramli Ngah Talib) kerana kami percaya pelantikan ini mampu menyumbang kepada pembangunan negeri Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri LRT Laluan Mutiara 2025 dekat The Top, Komtar di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Zulkifli Long dan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corp Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Mohd. Zarif Hashim.

Kon Yeow menyatakan bahawa satu majlis apresiasi bagi menghargai jasa Tun Ahmad Fuzi yang telah berkhidmat selama satu penggal turut akan diadakan pada 28 April ini.

Semalam, Ramli menerima surat cara pelantikan daripada Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Pada istiadat sama, Ramli, 84, turut dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) yang membawa gelaran Tun.

Ramli yang merupakan mantan Yang Dipertua Dewan Negara pernah menyandang jawatan penting di peringkat Persekutuan dan negeri, antaranya sebagai Menteri Besar Perak kelapan selama 17 tahun bermula 1982 hingga 1999.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN