UPNM johan debat Piala Ketua Menteri Pulau Pinang 2024

Admin
img 20241020 wa0027

PANTAI JEREJAK – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) muncul sebagai johan Pertandingan Debat Piala Ketua Menteri Pulau Pinang yang julung kali diadakan pada tahun ini.

Hujah mantap dan berkesan ketiga-tiga pendebat UPNM yang bertindak sebagai perwakilan kerajaan mengenai usul Pembangunan Keusahawanan di Pulau Pinang: Kerajaan Negeri Hanya Bertepuk Sebelah Tangan telah berjaya mewaskan perwakilan pembangkang yang diwakili pelajar dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak.

Kemenangan tersebut telah melayakkan mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000 berserta trofi manakala SBP Integrasi Gombak yang dinobatkan sebagai naib johan membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta trofi.

Tempat ketiga pula masing-masing oleh pelajar Program Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000.

img 20241020 wa0022img 20241020 wa0021img 20241020 wa0018img 20241020 wa0019

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam ucapan beliau berharap agar idea-idea yang dikupas sepanjang sesi debat selama tiga hari bermula 18 Oktober lalu dapat dimanfaatkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Selain daripada kecemerlangan akademik, pembangunan modal insan secara holistik dalam kalangan anak bangsa juga menjadi keutamaan bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Debat bukan sahaja mampu untuk mengasah bakat dalam pengucapan awam, malah ia juga mampu membentuk sebuah komuniti yang mampu mengatur strategi serta buah fikiran secara berstruktur dalam mengupas isu-isu semasa khususnya yang mampu menyumbang kepada pembangunan sosial, ekonomi dan politik.

“Tahniah saya ucapkan kepada pihak penganjur iaitu Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar serta agensi serta pihak-pihak yang bertanggungjawab kerana bertungkus-lumus menjayakan pertandingan yang amat bermakna ini,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian penutup Pertandingan Debat Piala Ketua Menteri Pulau Pinang 2024 dekat Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol; Pengerusi PSDC, Solomon A. Lorthu; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Halal International (PHI), Azraie Ramli dan Pengarah Program Pertandingan Debat Piala Ketua Menteri Pulau Pinang 2024, Muhammad Firdaus Ihwaan.

Menyentuh mengenai aspek pembangunan keusahawanan di Pulau Pinang yang menjadi tajuk perdebatan pada peringkat akhir hari ini, Kon Yeow berharap agar penduduk di negeri ini dapat memanfaatkan segala inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk muncul sebagai seorang usahawan yang berjaya.

“Tidak salah untuk mengatakan bahawa Kerajaan Negeri telah menghulurkan tangan untuk membantu, namun setakat mana sambutan adalah terpulang kepada keberkesanan sesuatu program atau inisiatif tersebut.

“Jika kurang sambutan maka ada ruang untuk kita (Kerajaan Negeri) mengkaji semula sehingga sesuatu program atau inisiatif mencapai matlamat yang ditetapkan,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Pertandingan debat yang bertemakan Ekosistem Terpadu: Mencapai Visi Penang2030 itu menyaksikan sebanyak 30 pasukan dari institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah telah berentap bagi merebut gelaran juara.

Selain PSDC, pertandingan debat tersebut turut mendapat tajaan serta sokongan daripada Impact Edu, agensi-agensi Kerajaan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri serta Universiti Sains Malaysia (USM).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : SIEW CHIA EN