URC Mahsuri, projek penamatan skim strata pertama dilaksanakan di Pulau Pinang

Admin
img 20240109 wa0084

BAYAN LEPAS – Lembaga Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) berkaitan pemilikan 59 parcel di Blok H, Mahsuri dekat Bayan Baru di sini.

Perjanjian ditandatangani di antara Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Roslan Hassan dan Pengurus Besar LPNPP, ‘Ainul Fadhilah Samsudi sambil disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Ketika berucap sebelum itu, Kon Yeow menyatakan bahawa pemeteraian MoA tersebut akan menyaksikan projek URC Mahsuri menjadi projek pertama yang dilaksanakan melalui proses penamatan skim strata di negeri ini.

img 20240109 wa0085

“MoA ini juga menjadikan LPNPP sebagai pemilik tunggal bagi pembangunan projek rintis URC Mahsuri dan merupakan titik tolak bagi perolehan serta kejayaan Fasa 1 yang dijangka akan memulakan kerja di tapak pada suku pertama tahun 2025.

“URC Mahsuri juga akan menjadi projek rintis pertama kepada pelaksanaan berkonsepkan pembangunan semula perumahan yang pertama seumpamanya di negeri ini yang akan memberikan manfaat kepada 300 pemilik asal di tapak tersebut,” katanya pada majlis berkenaan semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar; Ketua Pegawai Bisnes LPNPP, Fakhurrazi Ibnu Omar; Ketua Pegawai Operasi LPNPP, Mohd. Fauzi Mohd. Yusoff serta wakil-wakil daripada PDC dan LPNPP.

Kon Yeow berkata, Fasa 1 projek URC Mahsuri adalah membabitkan pembinaan semula 300 unit rumah berkeluasan 850 kaki persegi dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk tempat letak kereta yang mencukupi.

“Apabila projek ini siap kelak, semua pemilik unit termasuk dari lima blok lain di Mahsuri akan dipindah masuk ke blok Fasa 1,” ujarya sambil menambah bahawa projek tersebut dijangka mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk disiapkan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komuniukasi menyatakan bahawa LPNPP juga telah melantik pemaju bagi pelaksanaan projek URC Mahsuri pada 11 April 2023 secara Request for Proposal (RFP).

“Pemaju yang berjaya telah dilantik dan sedang melaksanakan kerja-kerja awalan bagi mendapatkan kelulusan teknikal sebelum kerja di tapak dapat dimulakan,” ulasnya.

Pada masa sama, beliau berharap agar Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dapat mengkaji keperluan pewujudan akta-akta berkaitan pembaharuan semula bandar atau pindaan akta sedia bagi memudahkan pelaksanaan projek tersebut serta yang seumpamanya.

“Pembaharuan semula bandar bukanlah sesuatu yang mudah kerana terdapat pelbagai kekangan kepada akta-akta sedia ada.

“Sebagai contoh proses penamatan skim strata yang memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik petak bagi pelaksanaan projek URC ini sepertimana yang termaktub daam Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318),” katanya.

Difahamkan, projek URC Mahsuri adalah membabitkan dua fasa yang mana Fasa 2 yang merangkumi unit perumahan dan lot komersial akan dilaksanakan pada tahun 2028 selepas proses penamatan strata membabitkan lima lagi blok berjaya diselesaikan.

Pelaksanaan kedua-dua fasa bagi projek tersebut adalah membabitkan kos RM489 juta dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2032.

Sebagai rekod, LPNPP berjaya menyelesaikan urusan pindah milik daripada dua unit individu di Blok H kepada agensi perumahan negeri itu pada 6 Oktober dan 6 Disember 2023.

Seterusnya, LPNPP akan meneruskan dengan penamatan skim strata bagi 60 parcel di atas Lot 2323 yang akan mengembalikan tanah bagi lot ini kepada Hakmilik Induk bagi pelaksanaan Cadangan projek URC Mahsuri Fasa 1 yang dijangka dapat dielesaikan menjelang Jun tahun ini.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini mengumumkan pelaksanaan URC di Blok 5, Mahsuri yang dibangunkan kira-kira 30 tahun lalu dan mempunyai kira-kira 300 unit rumah dengan keluasan di antara 300 hingga 400 kaki persegi (kp).

Selain Blok 5 Mahsuri, empat lagi skim perintis melalui kaedah URC akan dilaksanakan iaitu Rumah Pangsa Taman Free School, Rumah Pangsa Padang Tembak, Taman Siakap di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Rumah Pangsa Mak Mandin di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD