PERAI – Masuk hari keempat berkempen, calon Pakatan Harapan bagi kawasan Parlimen P046 Batu Kawan, Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mengadakan jerayawara ke Kampung Main Road dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai pada 8 Novemver 2022.
Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), P. David Marshell antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai program mengedarkan risalah kempen kepada penduduk di sini.
Bercakap dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow memberitahu bahawa sejak tahun 2013, Kerajaan Negeri berusaha memberikan hak penempatan lot tanah rumah kepada penduduk asal Kampung Main Road, yang mana sebelum ini hanya milik seorang individu bukan kerajaan.
“Satu isu yang kita hadapi adalah Kampung Main Road yang mana pada satu ketika dulu oleh kerana pemilik tanah tidak membayar cukai tanah, tanah di sini diambil oleh Kerajaan Negeri.
“Jadi, atas usaha yang dimulakan oleh Prof. (Ramasamy), Kerajaan Negeri telah kembalikan lot-lot (tanah perumahan) kepada penduduk atas permohonan mereka dan satu premium (ditetapkan) dengan kadar potongan 90 peratus diberikan kepada pemohon-pemohon (pemilik rumah asal di sini) dan mereka diberikan kelonggaran juga untuk membayar secara ansuran.
“Tetapi (semua tawaran yang dibuat oleh Kerajaan Negeri hari ini) adalah tertakluk kepada permohonan supaya hak milik unit kediaman mereka dapat dikembalikan kepada mereka,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.
Bercakap pada sidang media sama, Ramasamy memberitahu bahawa Kampung Main Road telah wujud sebelum tahun 1936 yang mana semua rumah dibina di atas sebidang tanah yang dimiliki oleh seorang pihak tuan tanah.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri menawarkan 80 peratus potongan premium bagi pendudukan lot tanah perumahan selama 90 tahun, dan 60 tahun (90 peratus diskaun).
“Kalau nilai (tanah) RM120,000, mereka akan bayar dalam RM14,000 hingga RM15,000, itu pun ada yang minta bayar secara ansuran.
“Ini, merupakan suatu usaha Kerajaan Negeri hari ini, yang saya rasa saya telah mulakan selepas Pilihan Raya Umum pada tahun 2013 lagi,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi.
Selepas itu, pasukan Kon Yeow meneruskan program jerayawara ke Pasar Orang Kaya Taman Chai Leng, Perai serta Pusat Makan Dan Fan Shu dekat KADUN Bukit Tambun.