Usaha berterusan penting, tingkatkan kesedaran pelajar terhadap keselamatan jalan raya

Admin
whatsapp image 2025 04 09 at 19.54.29

GEORGE TOWN – Isu keselamatan jalan raya perlu diberikan perhatian serius terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah yang masih dalam proses pembelajaran tentang peraturan dan disiplin lalu lintas.

 

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut (Sektor Perancangan), Dr. Mohd. Siroj Abdul Lathiff berkata, setiap tahun ribuan nyawa hilang akibat kemalangan jalan raya.

 

“Menurut Astro Awani, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2024 seramai 779 pelajar sekolah maut dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara.

 

“Semuanya disebabkan oleh kelalaian, terburu-buru dan tidak mematuhi peraturan jalan raya seperti tidak memakai topi keledar, melintas tanpa berhati-hati, atau bermain di jalan raya.

 

“Oleh itu, usaha berterusan perlu dilakukan dalam meningkatkan kesedaran dan mendidik pelajar mengenai kepentingan mematuhi undang-undang dan keselamatan jalan raya,” ujarnya.

 

whatsapp image 2025 04 09 at 19.54.32

SEBAHAGIAN pelajar SJKC Han Chiang yang menyertai Kempen Keselamatan Jalan Raya.

 

Beliau berkata demikian ketika hadir melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Han Chiang dekat sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Pegawai Prosa Sekolah PPD Timur Laut, Mohd. Shamezal Mohd. Amin; Guru Besar SJKC Han Chiang, Ong Ai Leng dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Koay Gaik Kee.

 

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Han Chiang, Ong Chun Yew; Ketua Pasukan Ibu Bapa Penyayang, Andrew Tung Chin Nam; Jurutera Lalu Lintas Jabatan Kejuruteraan MBPP, Nurhakimah Hani Mohamad Haslan serta wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara yang turut sama.

 

Kempen yang bertujuan menyemai kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai bahaya akibat kecuaian di jalan raya itu menurut Mohd. Siroj penting.

 

“Melalui kempen ini, pelajar akan mempelajari langkah-langkah keselamatan yang wajib dipatuhi melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti.

 

“Ini bukan sekadar program harian, tetapi peringatan bahawa setiap langkah di jalan raya membawa risiko yang boleh dikawal dengan berhati-hati,” katanya.

 

Sementara itu, Ai Leng menegaskan bahawa keselamatan pelajar-pelajar SJKC Han Chiang menjadi keutamaan.

 

“Jadi saya berharap kempen ini dapat memberi impak yang mendalam dalam membentuk sikap para pelajar yang lebih berhati-hati di jalan raya.

 

“Usaha ini bertujuan untuk mendidik para pelajar supaya lebih peka, berhati-hati, dan bertanggungjawab semasa berada di jalan raya, terutama ketika dalam perjalanan ke sekolah dan pulang ke rumah,” katanya.

 

Pelbagai aktiviti menarik seperti ceramah, pameran dan tayangan video telah diatur sepanjang penganjuran kempen ini.

 

 

Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS

Gambar : LAW SUUN TING