Usaha KN – surau jadi masjid qaryah

ABDUL Rahman Abbas (tengah) menyampaikan ucapan pengisytiharan perasmian Masj id Jamek as-Soghir sambil ditemani oleh Abdul Halim Hussain (kiri) dan Abdul Malik Abul Kassim (kanan).
ABDUL Rahman Abbas (tengah) menyampaikan
ucapan pengisytiharan perasmian Masj id Jamek as-Soghir sambil ditemani oleh Abdul Halim Hussain (kiri) dan Abdul Malik Abul Kassim (kanan).

SUNGAI DUA – Dari sebuah surau, Masjid Jamek as-Soghi telah berjaya dinaiktaraf menjadi sebuah masjid al-qaryah hasil keperihatinan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat berjiwa rakyat.

Masjid Jamek as-Soghir dinaiktaraf dengan kos pembinaan yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri berjumlah RM300 juta dan kira-kira RM200 juta lagi adalah hasil sumbangan individu dan qaryah masjid.

Menurut Pengerusi Qaryah Masjid Jamek as-Soghir, Taman Pekaka, Haji Hashim Mat Nayan, dengan penaiktarafan tersebut, masjid tersebut telah membolehkan penduduk di kawasan sekitar taman perumahan tersebut menunaikan solat Juma’at.

“Hasil inisiatif khas Kerajaan Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Jabatan Kerja Raya (JKR), imam-imam, bilal dan siak serta individu-individu tertentu, masjid ini siap dinaiktaraf pada Julai tahun ini dan sedia digunakan pada Ramadhan yang lalu,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara pada Majlis Perasmian Bangunan Baru Masjid Jamek as-Soghir, di sini baru-baru ini.

Hadir sama merasmikan masjid tersebut, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas; Speaker Dewan Undangan Negeri, Abdul Halim Hussain; Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Batu Uban, S. Raveentharan; wakil-wakil JHEAIPP, MAIPP, JKR dan jawatankuasa qaryah.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Abdul Malik Abul Kassim, menyatakan rasa syukur beliau dan mengucapkan tahniah kepada semua jawatankuasa qaryah masjid kerana sama-sama menggembleng tenaga membangunkan ummah serta turut membantu Kerajaan Negeri dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap warga Pulau Pinang.