BAGAN JERMAL – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud menegaskan bahawa penduduk di ketiga-tiga daerah berkenaan masih perlu bekerja keras untuk mengurangkan penghasilan sampah.
Jelasnya, data ditapak pelupusan sampah Pulau Burung menunjukkan pengahasilan sampah meningkat dan sekiranya tidak dikawal, boleh menyebabkan Seberang Perai akan menghadapi krisis alam sekitar yang serius pada tahun 2030.
“Pada tahun 2019, sampah yang telah dijana oleh penduduk Seberang Perai adalah 553,242 tan, atau 1,515 tan setiap hari, meningkat kepada 598,234 tan pada tahun 2020, iaitu 1,639 tan setiap hari, peningkatan sebanyak 8.1 peratus.
“Penelitian yang mendalam pada data-data penghasilan sampah menunjukkan penjanaan sampah industri telah meningkat begitu ketara iaitu 292,252 tan atau 15.99 peratus pada tahun 2019, melonjak kepada 352,464 tan atau 20.6 peratus pada tahun 2020.
“Di samping itu penjanaan sisa domestik telah berkurangan iaitu 260,990 tan pada 2019, berkurangan kepada 245,770 tan pada tahun 2020, berkurangan 5.8 peratus,” ujar Rozali ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pengumpulan Sisa Organik Di Kompleks Makanan Taman Tun Dr. Awang, Teluk Air Tawar baru-baru ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Dato’ Mustapha Kamal Ahmad dan pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid dan Ahli-ahli Majlis bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.
Menurut Rozali lagi, peningkatan sisa industri secara mendadak memaksa satu tindakan diambil, antaranya MBSP mulai 1 Januari 2022 akan melaksanakan Sistem Pengurusan Sisa Pepejal Lestari (Sustainable Solid Waste Menagement System) sebagai langkah mengekang peningkatan sampah, yang mana setiap premis industri akan dikenakan caj perkhidmatan, jika penjanaan sampah melebihi 24 tan setahun.
Dalam majlis sama, Rozali memberitahu bahawa peniaga-peniaga Kompleks Makanan Taman Tun Dr. Awang bersetuju melaksanakan program sisa sifar dengan mengasingkan sisa-sisa organik daripada gerai masing-masing untuk tujuan pengkomposan.
“Sisa organik yang dikumpul akan dihantar ke premis Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bagan Ajam untuk tujuan pengkomposan.
“Penghantaran sisa organik ini akan dibuat secara harian oleh peniaga sendiri.
“Pihak MPKK Bagan Ajam akan memberi penerangan kepada para peniaga berhubung kaedah pengasingan sisa organik dengan betul seperti tidak memasukkan plastik, penyedut minuman, tali rafia atau apa-apa bahan lain yang tidak boleh diuraikan.
“Kerjasama MPKK Bagan Ajam melalui aktiviti pengkomposan sisa organik ini, merupakan satu penggemblengan tenaga antara komuniti dan MBSP ke arah mewujudkan sebuah banda raya rendah karbon yang berdaya huni, dalam menzahirkan ,“Seberang Perai Resilient, Inklusif, Hijau Dan Kompetitif”.
“Melalui program pengumpulan sisa organik ini, ianya dapat menghasilkan kompos dari sisa (waste to compost) dan secara tidak langsung membantu mengurangkan pembuangan sisa, terutamanya sisa organik ke tapak pelupusan sampah,” kata Rozali lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MBSP