Usaha masukkan projek ‘keutamaan’ dalam Rolling Plan keempat RMK-12, respons Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan seusai merasmikan Majlis Penyerahan Projek Jambatan Tanjung Berembang Di Jalan P169, Nibong Tebal di sini pada 25 Februari 2023.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya akan berusaha membida ‘projek-projek keutamaan’ Pulau Pinang yang tidak dimasukkan dalam Bajet 2023 Persekutuan, pada Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) seterusnya yang dijadualkan sehingga akhir tahun ini.

Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkenaan memberi respons itu semasa diminta mengulas mengenai pembentangan semula Bajet 2023 di Dewan Rakyat semalam, antara lain mengumumkan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sahaja akan mula dilaksanakan peringkat Kerajaan Pusat di negeri ini.

“Sebenarnya kIta (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) tahu bahawa MASB (Malaysia Airports Sdn. Bhd.) sudah ada persiapan awal sejak tahun 2018.

“Dengan pengumuman (Bajet 2023 Persekutuan) ini, pasukan Kerajaan Negeri akan perlu memberi input dan kerjasama kepada MASB.

“Kini bidaan untuk projek di bawah Rolling Plan Keempat (RMK-12) pun sudah bermula, untuk dibentangkan mungkin pada akhir tahun ini (2023), bagi membuat belanjawan pada tahun depan (2024).

“Justeru, proses memasukkan (projek cadangan) sedang dibuka, kita akan membuat susulan lanjut dengan Menteri (Kewangan) dan harap lebih banyak projek akan diluluskan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota selepas merasmikan Majlis Penyerahan Jambatan Tanjung Berembang di Laluan P169 dekat sini pada 25 Februari 2023.

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Mohammad Azhar Hamdan dan Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Mohd. Norazmi Abd. Ghafar turut sertai sidang media berkenaan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya termasuk agensi-agensi negeri berkaitan akan memberi kerjasama dengan Putrajaya dan MASB untuk kerja-kerja fasiliti projek pembesaran LTAPP, termasuk urusan pengambilan balik tanah, pemindahan kuarter JKR serta sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

Semasa membentangkan Bajet 2023 Persekutuan pada petang semalam, Perdana Menteri mengumumkan cadangan untuk membesarkan serta meningkatkan keupayaan LTAPP, Lapangan Terbang Subang dengan diterajui MAHB bagi tujuan menggalakkan kemasukkan pelabur ke negara ini.

Terdahulu, Kon Yeow pada 3 Februari lepas dalam satu kenyataan memohon Putrajaya memberi perhatian kepada 10 projek ‘keutamaan’ untuk dipertimbangkan dalam belanjawan tahun ini.

10 ‘projek keutamaan’ yang dimaksudkan Kon Yeow adalah Pelan Pembangunan Fizikal Pulau Aman; Penang Green Connectors dan North Seafront Programme; pembangunan semula Dewan Sri Pinang (DSP); menaik taraf Bangunan Astaka Bukit Bendera; pembangunan dan restorasi bangunan warisan ‘Gate House (Bel Retiro) sebagai Penang Hill Gallery @ Gate House’ yang berkonsepkan edupelancongan; ‘Management Industrial Land’ untuk Taman Teknologi Bandar Cassia (BCTP).

Selain itu, baki ‘projek keutamaan’ lain turut merangkumi projek PPR Ujong Batu di atas sebahagian tanah Kerajaan; pembinaan jalan bawah (underpass) untuk menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma di persimpangan Jalan Mount Erskine/Jalan Gottlieb/Jalan Burma/Jalan Bagan Jermal, Seksyen A; Jalan Bawah; Rancangan Tebatan Banjir di Taman Nelayan Kuala Sungai Pinang bagi mengurangkan risiko banjir dan naik taraf Sistem Private Autimatic Branch Exchange (PABX) Hospital Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR