Usaha menyemarak keharmonian kaum, agama akan terus ditingkatkan – Ketua Menteri

Admin
8fa203e0 3f2d 4d9d 91dd 665f7ffb18b9 KETUA Menteri dalam program Sembang Santai Bersama-sama Komuniti India di Jalan Puteri Gunung 8, Sungai Bakap pada 1 Julai 2024.

SUNGAI BAKAP – Demi memastikan keharmonian rakyat yang berbilang agama dan kaum, Kerajaan Negeri hari ini akan terus berusaha melakukan penempatan semula rumah ibadat bukan Islam (RIBI) sedia ada yang dikenal pasti mempunyai isu tanah dan sebagainya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian dalam Program Sembang Santai Bersama-sama Komuniti India di Jalan Puteri Gunung 8 dekat sini pada 1 Julai 2024.

“Sebagai negeri yang memiliki penduduk berbilang kaum dan agama, tempat-tempat ibadat pun perlu dijaga dengan baik.

“Peruntukan-peruntukan pembangunan masjid, surau, kuil dan tokong akan dan sedang diusahakan yang mana melalui usaha-usaha ini, kita (Kerajaan Negeri) dapat menempatkan semula kuil-kuil yang menghadapi isu-isu tanah dan sebagainya.

“Jadi, kita mahu rakyat dapat hidup dalam keadaan sejahtera dan harmoni, justeru, kita harap melalui usaha ini rakyat jelata dapat melalui kehidupan lebih baik dengan peluang pekerjaan yang baik juga,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Buletin Mutiara difahamkan bahawa Kerajaan Negeri pada tahun lepas memperuntukkan sejumlah RM18 juta untuk pembinaan semula tujuh masjid baharu di Pulau Pinang.

Selain Masjid Lama Sungai Bakap di sini, enam masjid lain yang terlibat dalam pelan pembangunan adalah Masjid Papan di Seberang Jaya; Masjid Sungai Lokan dan Masjid Sungai Dua Utama di Butterworth; Masjid Bandar Raya Seberang Perai di Bandar Cassia; Masjid Lama Sungai Kechil di Nibong Tebal serta Masjid Bandar Putra Bertam di Bertam.

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang merayu kepada sekalian pengundi N.20 Sungai Bakap supaya memberi peluang kepada calon Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin untuk dipilih sebagai ADUN serta mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN)!kelak.

Menurut beliau, agenda pembangunan sosial dan infrastruktur yang diperlukan oleh penduduk setempat lebih mudah dilaksanakan sekiranya calon daripada parti pemerintah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRN) N.20 Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

“Selain kita perlu tahu sama ada seseorang calon ini sesuai atau tidak untuk dipilih – berdasarkan pengalaman serta iltizam dia untuk membantu rakyat, kita pun perlu melihat apakah parti yang diwakilinya.

“Bukan senang untuk menjadi wakil rakyat pembangkang.

“Cikgu Joohari ini mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH)…Cikgu Joohari adalah calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan (peringkat) Negeri serta Persekutuan.

“Jadi, kalau Cikgu Joohari dipilih (sebagai ADUN), dia akan menjadi wakil rakyat bagi Kerajaan,” tegasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI