AIR ITAM – Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada pagi ini berkata bahawa pentadbirannya akan tetap berusaha meneruskan rundingan bagi merealisasikan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS), sungguhpun ketika ini masih belum mendapat persetujuan daripada pihak Kerajaan Negeri Perak.
Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan terbaru pentadbiran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengekalkan pendirian sebelum ini iaitu negeri berkenaan tidak mempunyai cukup sumber mentah untuk dibekalkan kepada Pulau Pinang, melalui cadangan skim tersebut.
Lagipun, Kon Yeow menjelaskan bahawa hasil kajian berkaitan yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta diterima pada bulan September lepas, antara lain menjelaskan bahawa sumber air mentah dari sungai negeri Perak adalah mencukupi untuk dibekalkan kepada Pulau Pinang.
“Kalau tidak ada projek (SPRWTS) ini, ratusan juta liter sehari (MLD) air mentah yang melalui lembangan sungai dari Perak akan terus ke laut.
“Mengapa beliau (Saarani) tidak petik hasil kajian, kalau mahu mengeluarkan kenyataan ini (konon-konon sumber air mentah dari sungai Perak hanya cukup untuk kegunaan dalaman negeri berkenaan sahaja.
“Semestinya, kita (Pulau Pinang) akan meneruskan usaha ini (rundingan SPRWTS dengan melibatkan Kerajaan Negeri Perak dan KASA),” responsnya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Bangunan Penyimpanan Mayat Masyarakat Berketurunan India di Lot A Seksyen 2 Bandar Air Itam dekat sini pada 2 Disember 2022.
Di samping itu, Kon Yeow berkata bahawa proses rundingan dengan Kerajaan Negeri Perak tidak dapat diteruskan antara lain kerana mahu menunggu hasil kajian berkaitan yang dilaksanakan oleh KASA.
“Kalau selepas ini, Kerajaan Negeri Perak berpendapat tidak sedia membekalkan 1,000 MLD, kita (Pulau Pinang) sedang berbincang untuk mendapat bekalan air mentah 700 MLD.
Tambah beliau, SPRWTS penting untuk negeri Pulau Pinang membuat persiapan awal sebelum krisis bekalan sumber air mentah yang dijangka pada tahun 2050.
“(SPRWTS) ini bukan untuk menggantikan sumber air mentah dari Sungai Muda yang ketika ini membekalkan 1,200 MLD untuk Pulau Pinang, sebaliknya ia (SPRWTS) adalah untuk menambahkan bekalan sumber air mentah yang diperlukan Pulau Pinang dan tidak perlu bergantung kepada satu sumber air mentah sahaja (iaitu dari Sungai Muda),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Semalam (1 Disember 2022), dilaporkan, Kerajaan Negeri Perak tetap dengan pendirian tidak membekalkan air ke Pulau Pinang meskipun pembentukan kerajaan negeri sekarang adalah campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Saarani dilaporkan menyatakan bahawa kapasiti air sungai Perak hanya cukup untuk kegunaan domestik termasuk sektor perindustrian di negeri berkenaan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NUR ATIKAH RAHMAT
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR