Usaha MPPP diiktiraf peringkat kebangsaan

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

TROFI dan sijil penghargaan yang dimenangi bagi kategori Kemudahan Laluan Basikal dan Sistem Pelupusan Kaedah Kompos oleh MPPP pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini
TROFI dan sijil penghargaan yang
dimenangi bagi kategori Kemudahan
Laluan Basikal dan Sistem Pelupusan
Kaedah Kompos oleh MPPP pada Sambutan Hari Perancangan Bandar
Sedunia (HPBS) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini

KUALA LUMPUR – Usaha dan kesungguhan untuk menjadikan Pulau Pinang Bersih dan Hijau oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah diiktiraf oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut berjaya mengondol dua anugerah yang dipertandingkan pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Acara tahunan yang bertemakan Sustainable Development, Green Urbanisme tersebut memberi fokus kepada peranan perancang sesebuah bandar bagi mengaplikasi dan memperkasakan teknologi hijau dalam merancang perbandaran.

Sebagai pengiktirafan dan galakan kepada usaha dan inisiatif kejiranan hijau, Kementerian telah memberikan pengiktirafan kepada 12 PBT atas inisiatif yang dimainkan dalam menghadapi isu global tersebut. Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Rangkaian Jalan Kaki, Lorong Basikal dan Sistem Pelupusan Kaedah Kompos.

Melalui usaha Kerajaan Negeri dan MPPP memperbanyakkan laluan-laluan berbasikal di negeri ini dan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor bagi jarak yang selesa telah membolehkan MPPP mengondol anugerah Kemudahan Laluan Basikal. Manakala, inisiatif mewujudkan tapak menghasilkan baja kompos daripada sisa makanan terbuang menggunakan sistem pengkomposan tatakura di Pasar Bayan Baru turut sama meraih anugerah Sistem Pelupusan Kaedah Kompos.

Kemenangan ini adalah sebagai satu pengiktirafan kepada semua usaha-usaha yang dilakukan MPPP dan pada masa sama, ia memberi satu impak positif dalam membina perbandaran yang hijau dan selamat untuk dihuni. Perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.