Usaha murni MPKK Bukit Minyak MK 13 bantu golongan memerlukan

BUKIT TENGAH – Ahli-ahli Majis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Minyak Mukim (MK) 13, di sini mengambil inisiatif mengusahakan kebun sayuran demi membantu mereka yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Usaha murni tersebut dilaksanakan dengan memanfaatkan tanah kosong yang terbiar dekat halaman bangunan pejabat MPKK berkenaan dan menukarnya menjadi sebuah kebun di dalam bandar.

Chew Chin Ewo menunjukkan tanaman cili yang diusahakan.

Pengerusinya, Chew Chin Ewo, 67, ketika ditemui memberitahu bahawa terdapat enam jenis sayuran yang ditanam seperti bayam, kailan, kangkung, pak choi (sawi putih), cili dan pucuk ubi keledek untuk diagihkan kepada kepada golongan yang memerlukan.

“Kita mula usahakan kebun ini pada bulan Jun lalu sebagai menyahut seruan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menggalakkan aktiviti pertanian bandar sebagai sumber pendapatan sampingan.

Anggota MPKK Bukit Minyak Mukim 13 sedang mengutip ulat yang menyerang tanaman.

“Hasil tanaman ini akan diagihkan kepada golongan miskin khususnya mereka yang berpendatapan rendah selain dihantar ke beberapa buah rumah anak yatim di sekitar kawasan Bukit Minyak.

“Sekiranya terdapat lebihan barulah sayur-sayuran ini dijual kepada penduduk dengan harga yang lebih murah berbanding di pasaran.

“Bagaimanapun, ada juga penduduk yang membayar harga lebih tinggi sebagai derma ikhlas kepada pihak MPKK,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui di Pejabat MPKK Bukit Minyak Mukim 13, di sini semalam.

Kerja menyiram tanaman turut dilakukan.

Chin Ewo berkata, selain 13 anggota MPKK, beliau turut dibantu oleh beberapa penduduk setempat yang bersama-sama mengambil bahagian membangunkan kebun seluas kira-kira 2,000 kaki persegi itu.

“Kos untuk memulakan projek ini adalah kira-kira RM2,000 menggunakan peruntukan MPKK Bukit Minyak Mukim 13 untuk membeli anak benih sayuran yang ditanam.

“Apa yang penting semua sayuran yang ditanam ini tidak menggunakan racun. Jadi sayur-sayuran ini boleh dikatakan sebagai tanaman organik,” ulasnya lagi.

Beliau berkata, anggaran hasil yang berjaya dikutip daripada kebun tersebut adalah kira-kira 50 hingga 100 kilogram setiap bulan.

Sayut bayam antara yang mendapat permintaan daripada penduduk setempat.

Justeru, katanya, bagi meningkatkan lagi hasil pihaknya sedang merancang untuk membangunkan satu lagi kebun sayuran di atas tanah bersebelahan pejabat sedia ada.

“Kali ini kita akan menggunakan teknik tanaman hidroponik bagi mendapatkan lebih banyak hasil untuk membantu lebih ramai golongan memerlukan.

“Bagaimanapun, projek ini akan ditaja sepenuhnya oleh pihak Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dan tanaman yang kita sedang pertimbangkan adalah bendi, cili, terung dan kacang,” jelasnya.

Bagi yang berminat untuk memulakan projek yang sama atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh hubungi : 012-4865 820.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS