Usaha naik taraf mutu perkhidmatan, pelan antirasuah LPNPP dipuji

Admin
KETUA Menteri (tengah) diiringi Jagdeep Singh Deo (kiri) dan ‘Ainul Fadhilah Samsudi (kanan) dalam perasmian portal rasmi LPNPP dan aplikasi telefon eRumah@LPNPP di sini pada malam ini.

PANTAI JEREJAK – Pelancaran portal rasmi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) yang siap dinaik taraf dengan kemudahan capaian aplikasi mudah menerusi telefon pintar, eRumah@LPNPP akan menyerlahkan lagi fungsi serta peranan lembaga tersebut dalam memudahkan rakyat mengakses segala permohonan berkaitan sektor perumahan negeri.

KETUA Menteri menyampaikan ucapan bersempena Majlis Makan Malam dan Apresiasi LPNPP di Hotel Olive Tree, Pantai Jerejak di sini tadi.

Sambil mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow turut memuji pertubuhan berkaitan atas inisiatif menghasilkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) LPNPP Tahun 2022 – 2026 sebagai rujukan dalam memelihara integriti dan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan terutama sistem antirasuah pada peringkat lembaga.

“Diharap dengan adanya kedua-dua platform ini (portal rasmi LPNPP dan eRumah@LPNPP), ia dapat menyerlahkan lagi fungsi LPNPP terutama dalam memudahkan para pengguna mengakses segala permohonan Rumah Mampu Milik (RMM), Unit Sewa Kerajaan Negeri / PPR (Projek Perumahan Rakyat), bayaran sewa penyelenggaraan termasuk permohonan (Tabung) Penyelenggaraan Tabung Maksimum 80 Peratus (Pulau Pinang, TPM80PP) Kerajaan Negeri.

“Bagi memastikan matlamat penyediaan pelan (OACP) ini tercapai, pemantauan semua inisiatif yang telah digariskan akan dilakukan dengan rapi supaya usaha penambahbaikan dapat dilaksanakan secara berterusan,” jelasnya yang juga Pengerusi LPNPP semasa berucap dalam Majlis Makan Malam (LPNPP) di sini pada 17 Mei 2022.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut memberitahu bahawa adalah menjadi cabaran kepada semua syarikat pemaju perumahan di Pulau Pinang supaya membina unit kediaman dengan kos yang ‘mampu dijual dan didiami’ oleh sekalian rakyat.

“Setelah semua unit (kediaman) berjaya dibekalkan, adakah semua unit ini mampu dibeli dan didiami oleh rakyat.

“Sehubungan itu, menjadi cabaran kepada semua pemaju adalah memastikan semua unit rumah yang hendak dibina adalah dengan kos yang mampu dibeli oleh rakyat,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada 12 warga kerja LPNPP yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2021 pada majlis sama.

Selain itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut merakamkan penghargaan kepada 14 firma pemaju RMM yang turut hadir sebagai tetamu pada majlis jamuan malam tersebut.

Sebelum itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo turut merakamkan penghargaan kerana pentadbiran Kon Yeow yang menjadikan perkara perumahan sebagai sektor paling penting di bawah Visi Penang2030.

Tambah ADUN Datuk Keramat itu lagi, setakat ini, 36 projek pemajuan telah siap dan dalam pembinaan di bawah Garis Panduan Penyediaan RMM 100 Peratus sejak tahun 2013.

Manakala, Pengurus Besar LPNPP, ‘Ainul Fathilah Samsudi memberitahu bahawa LPNPP ditubuhkan pada 1 Januari 2021 dan kini berusia 17 bulan bagi meneruskan segala agenda perumahan yang sebelum ini diletakkan di bawah bidang kuasa Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari, Setiausaha Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Baderul Amin Abdul Hamid, dan mantan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Pulau Pinang, Dato’ Toh Chin Leong antara pemimpin yang turut menyertai acara apresiasi berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD