USAHA dan komitmen berterusan Persatuan Kriket Pulau Pinang (PCA) dalam mempopularkan semula sukan itu di negeri ini membuahkan hasil apabila berjaya merangkul tiga anugerah daripada Persatuan Kriket Malaysia (MCA) baru-baru ini.
Presiden PCA, T. YOGANRAJ berkata, anugerah tersebut diterima PCA pada Malam Anugerah Kriket Malaysia 2023 anjuran MCA yang berlangsung di Klang, Selangor pada 11 Mac lalu.
Menurut beliau, anugerah tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan MCA terhadap prestasi cemerlang ditunjukkan oleh atlet, pegawai, sukarelawan serta mereka yang menyumbang kepada pembangunan dan populariti sukan kriket di negara ini.
“Pencalonan bagi anugerah ini dikemukakan oleh gabungan persatuan kriket dari semua negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
“Malam Anugerah Kriket Malaysia boleh dianggap sebagai pengiktirafan sebenar terhadap pencapaian dan menghargai semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh para penerima.
“Pada malam itu, PCA berjaya menggondol dua daripada lima anugerah iaitu ‘Best Junior Participation Initiative’ dan ‘Best Cricket Promotion and Marketing Program’ termasuk satu anugerah individu ‘Mahinda Vallipuram Commitment Award’,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui dekat Taman Sri Rambai, Padang Lalang pada 15 Mac lalu.
Mengulas lanjut mengenai anugerah yang diterima, Yoganraj menjelaskan bahawa ‘Mahinda Vallipuram Commitment Award’ dianugerahkan kepada individu atas komitmen terhadap pembangunan sukan kriket di negara ini.
“Mahinda Vallipuram merupakan mantan Presiden Persatuan Kriket Malaysia yang pernah dilantik sebagai salah seorang anggota Majlis Kriket Asia (ACC) dan beliau sangat berjasa dalam perkembangan sukan kriket di negara ini.
“Sementara itu, dua anugerah pembangunan yang diterima PCA pula adalah suatu bentuk pengiktirafan kepada persatuan, institusi serta kelab negeri yang telah menunjukkan komitmen terhadap pembangunan sukan kriket.
“Antara usaha yang dijalankan adalah mempergiatkan aktiviti promosi sukan kriket melalui laman sosial Facebook untuk menguar-uarkan aktiviti terkini yang dianjurkan oleh PCA.
“Kami juga wujudkan satu komuniti (Penang Cricket Association) yang berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp untuk mengemas kini aktiviti terkini sama ada setiap hari atau setiap minggu.
“Oleh itu, semua pihak terutamanya ibu dapat dapat mengetahui perkembangan terkini berkaitan aktiviti yang dijalankan oleh PCA melalui telefon pintar mereka.
“Selain itu, kami juga mengumpulkan semua pemain dan anggota persatuan kriket khususnya atlet profesional kebangsaan untuk menyumbang sama ada tenaga atau idea dalam mengembangkan lagi sukan ini di Pulau Pinang,” ujarnya yang merupakan penerima bagi ‘Mahinda Vallipuram Commitment Award’ pada tahun ini.
Justeru, beliau merakamkan setinggitinggi penghargaan kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng serta Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee kerana sentiasa memberikan sokongan kepada PCA.
“Kami percaya dengan sokongan yang diberikan ini, kita akan dapat menyaksikan peningkatan prestasi sukan kriket di Pulau Pinang.
“Penyediaan ekosistem kriket yang lebih baik mampu melahirkan lebih ramai pemain profesional di negeri ini,” ujarnya sambil berharap sukan kriket lebih diminati oleh penduduk tempatan.
Difahamkan, tiga lagi anugerah yang disampaikan pada malam berprestij tersebut iaitu ‘Best Overall Cricket Development Program’, ‘Best Women’s Cricket Initiative’ dan ‘Best Spirit of Cricket Initiative’.
Perancangan semasa
Ditanya mengenai perancangan terkini pembangunan kriket di Pulau Pinang, Setiausaha PCA, DR. K. SHANKAR berkata bahawa pihaknya sedang berusaha membina tempat latihan khas di padang awam milik Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dekat Padang Lalang.
“Kita sudah buat permohonan kepada Jabatan Landskap MBSP untuk gunakan padang ini sebagai tempat latihan dan harap ia dapat diluluskan secepat mungkin.
“Sekiranya diluluskan, kita akan membina tempat latihan yang sama dengan tempat latihan yang atlet biasa gunakan yang mana pada bahagian bawah kita akan gunakan konkrit manakala bahagian atas akan dipasang dengan jaring untuk tujuan keselamatan.
“Kita juga akan memasang lampu limpah untuk membolehkan mereka yang mempunyai kekangan selepas waktu bekerja boleh menjalani latihan di sini pada waktu malam.
“Walaupun padang ini tidak luas seperti padang kriket sebagaimana yang lazimnya tetapi ia sudah mencukupi untuk atlet menjalani latihan memukul bola seperti latihan sebenar,” ulasnya lanjut.
Menubuhkan akademi
Pada masa sama, kata Shankar, PCA juga telah menubuhkan akademi yang beralamat di 49, Lorong Tembikai 3, Bukit Mertajam sebagai langkah lebih serius untuk mengembangkan lagi sukan kriket.
“Bangunan yang digunakan sebagai akademi sebenarnya kami sewa daripada YB Chong Eng (ADUN Padang Lalang) untuk tempoh 10 tahun dan dibiayai sepenuhnya oleh PCA.
“Di akademi ini, kami juga sediakan hostel yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti katil, dapur, tandas, bilik mandi serta kelengkapan komputer untuk membolehkan belajar dapat mengulang kaji pelajaran di sini.
“Selain itu, kami juga menyediakan kemudahan peralatan gimnasium untuk membolehkan para atlet menjalani latihan fizikal di sini.
“Kelengkapan untuk sukan kriket seperti kayu pemukul, bola, sarung tangan serta kelengkapan keselamatan yang lain juga kami sediakan di sini,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, Shankar berharap agar pihak Kerajaan Negeri dapat menyediakan tanah khusus untuk sukan kriket bersama sukan-sukan lain bagi membolehkan atlet menjalani latihan dengan lebih efektif dan selesa.
“Sementara itu, kami sedang mencuba pelbagai cara termasuk berbincang dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menggunakan padang di universiti awam itu untuk menjalani latihan dengan kos yang lebih efektif,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR