Usaha PDRM banteras jenayah, kongsi informasi sentiasa disokong

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada awal pagi tadi menerima kunjungan hormat Ketua Polis Negeri, Datuk T. Narenasagaran di pejabatnya dekat Komtar.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (PJPJKK), Senior Asisten Komisioner Zundin Mahmood dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santung turut sertai kunjungan hormat tersebut.

Dalam pertemuan hampir 40 minit itu, Narenasagaran berkongsi mengenai kadar indeks jenayah terbaru di negeri ini, terutama bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan bandar raya George Town.

“Sebarang maklum balas atau perkara-perkara berkaitan sila maklumkan kepada saya atau Senior Asisten Komisioner Zundin dan Asisten Komisioner Soffian.

“Jenayah yang biasa berlaku bukan perkara yang baharu, memang berlaku, cuma sekarang ini lebih mudah tular disebabkan adanya media sosial.

“Apabila kita (Polis Diraja Malaysia, PDRM) berkongsi maklumat yang sebenar mengenai (indeks jenayah) dan kedudukan (tahap) kesejahteraan rakyat yang sebenar, kadang-kadang ia dijadikan isu oleh sesetengah pihak… tapi, polis hanya membuat kerja polis,” jelasnya.

Dalam reaksi spontan, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menyatkan bahawa pentadbirannya senantiasa menyokong tindakan polis dalam usaha membanteras jenayah termasuk berkongsi informasi sebenar berhubung tahap ketenteraman awam di negeri ini dari semasa ke semasa.

“Pendirian saya adalah sama juga (seperti perkara yang diperkatakan oleh Narenasagaran), daripada segi menyalurkan informasi sebenar dan secara cepat, ya bagus. Polis hanya melaksanakan tugas serta tanggungjawabnya secara cekap serta pantas, termasuk dalam menyalurkan maklumat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD