GEORGE TOWN – Pengiktirafan bandar raya George Town sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Julai 2008, dilihat telah meningkatkan naluri kesedaran tentang nilai dan kepentingan warisan dalam kalangan rakyat Pulau Pinang khususnya masyarakat yang tinggal di dalam kawasan George Town.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian dalam pertemuan bersama-sama Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Rosli Nor dekat pejabatnya di Komtar pada 21 Januari 2022.
Ironinya menurut Kon Yeow, pengiktirafan tersebut juga telah membawa kepada usaha pemeliharaan serta pemuliharaan khazanah warisan termasuk aspek kawalan pembangunan dalam zon pemuliharaan di George Town dan kawasan sekitarnya.
Pastinya sebagai kawasan ‘liveable city’ yang berkembang pesat, George Town menjadi tumpuan pelbagai kegiatan ekonomi dan sosial.
“(Dan) usaha berterusan untuk mengekalkannya (sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO) harus dipergiatkan,” ujarnya yang juga merupakan Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.
Dalam pada itu, Rosli yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang pada 1 September 2021 menyatakan keyakinan bahawa kerja-kerja pemuliharaan, dokumentasi dan penggredan warisan di negeri ini akan diteruskan demi generasi akan datang.
Ini termasuklah pemulihan rumah-rumah kedai tradisional, bangunan keagamaan dan monumen yang ada di kawasan George Town serta tapak bersejarah seperti di Guar Kepah, mengikut kumpulan warisan masing-masing.
“(Selain itu), pihak kami juga akan menyenaraikan bangunan-bangunan kerajaan seperti kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (Seri Mutiara), kediaman rasmi Ketua Menteri (Seri Teratai) dan kediaman rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri untuk penyenaraian pewartaan serta pengiktirafan warisan.
“Begitu juga dengan loghat Pulau Pinang, bahasa Hokkien Pulau Pinang dan seniman-seniman kelahiran Pulau Pinang yang turut akan diusahakan bagi penyenaraian sebagai warisan tidak ketara (intangible heritage) untuk negeri ini,” jelasnya.
Terdahulu, Rosli yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Kon Yeow, memberi penerangan ringkas berhubung struktur organisasi pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang termasuk cadangan untuk mengadakan mesyuarat bagi merangka polisi penubuhan sebuah majlis khas berkaitan warisan di negeri ini.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : DARWINA MOHD. DAUD