Usaha perbaiki projek Gurney Bay wajar disokong penuh, kata Guan Eng

Admin
img 9769 LIM Guan Eng

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng menyeru semua pihak supaya memberi sokongan penuh pada usaha Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye perbaiki kelemahan dalam pelaksanaan projek Gurney Bay.

“Di sini saya ingin melahirkan penghargaan kepada Ahli Exco Kerajaan Tempatan merangkap YB (ADUN) Jawi (Mooi Lye) yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk membetulkan kecacatan dan masalah yang timbul.

“Kami harus berikan sokongan penuh kepada beliau untuk mengambil segala langkah termasuk menggantikan kontraktor untuk menyelamatkan projek bermasalah ini,” jelasnya semasa membahaskan Ucapan Perasmian Tuan Yang Terutama (TYT) sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 28 Mei 2024.

Beliau memberitahu bahawa projek bernilai RM175 juta tersebut bermasalah apabila kosnya meningkat kepada RM247 juta dengan mengambil kira kos penambakan laut.

“Apakah kecacatan yang masih wujud dan sedang diperbaiki? Apakah status kemajuan kerja dan pembayaran yang dibuat sehingga kini,” tanya Guan Eng lagi.

Semalam, Mooi Lye antara lain menjelaskan bahawa Fasa 1 projek Gurney Bay telah dilanjutkan tiga kali selama 122 hari, namun kontraktor yang dilantik masih lewat menyiapkan projek tersebut.

Menurutnya lagi, denda lewat untuk 65 hari sebanyak RM 1.6 juta dikenakan kepada pihak berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng turut mengesyorkan Kerajaan Negeri Perpaduan Negeri Pulau Pinang hari ini supaya meningkatkan peruntukan untuk Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

“Saya mengalu-alukan peningkatan sebanyak RM3.3 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang bagi tahun 2024.

“Di sini, saya ingin memohon peningkatan RM3.3 juta yang sama diberikan kepada RIBI yang amat kurang peruntukan ini,” jelasnya kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang menjelang tengah hari tadi.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB