GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyediakan bantuan kewangan khas berjumlah RM1 juta kepada usahawan-usahawan perusahaan kecil dan sederhana (SME) bagi meningkatkan keupayaan serta keperluan platform pendigitalan dalam perniagaan masing-masing.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru para peniaga dan usahawan supaya memanfaatkan bantuan berkaitan bagi membolehkan golongan berkaitan kembali aktif dalam perniagaan yang dipercayai terjejas dek impak pandemik COVID-19.
“Selaras dengan pendekatan tersebut, Pejabat Daerah Dan Tanah Daerah Timur Laut (PDTDTL) telah mengambil inisiatif khas dengan menganjurkan Karnival Santai Rakyat Khaira Ummah yang mana selain selaras dengan objektif pendekatan Khaira Ummah 2030, ia juga bagi membantu para peniaga iaitu 16 pengusaha kendara saji yang turut mengambil bahagian pada hari ini.
“Malah, program yang berlangsung selama satu hari ini turut diselitkan dengan pelbagai acara dan juga gerai-gerai pameran membabitkan jabatan dan agensi kerajaan mahupun swasta termasuk pasukan-pasukan keselamatan di Pulau Pinang,” ujarnya pada Majlis Perasmian Karnival Santai Rakyat Khaira Ummah PDTDTL di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Infrastruktur & Pengangkutan, Zairil Khir Johari; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) PDTDTL, Nurshamshinaz Shamsuddin mewakili Pegawai DTL; Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. A. Rajendran dan Pengurus Besar Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Mohd. Fitri Ibrahim.
Karnival Santai Rakyat Khaira Ummah PDTDTL merupakan anjuran bersama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), YIPP dan lain-lain berkaitan di bawah inisiatif Majlis Mesyuarat Kerajaan Pemerkasaan Komuniti yang diterajui Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Khaira Ummah 2030 merupakan pelan pembangunan 10 tahun umat Islam Pulau Pinang yang menggariskan lima teras utama iaitu Hikmah, Ekonomi, Baiti Jannati, Anak Muda dan Tarbiyah (HEBAT).
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : LAW SUUN TING