Usahawan diseru manfaatkan geran SME, kembali aktif dalam perniagaan

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memulihkan sektor perniagaan terumatanya perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19.

DATO Abdul Halim berucap semasa majlis yang diadakan baru-baru ini.

Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata antara inisiatif yang dilaksanakan adalah termasuk menyediakan bantuan kewangan khas berjumlah RM1 juta kepada 1,000 SME untuk meningkatkan pendigitalan dalam perniagaan.

“Di sebalik pelbagai kesan negatif pandemik, terdapat juga manfaat yang boleh dipraktikkan oleh para usahawan demi kelangsungan perniagaan masing-masing.

“COVID-19 telah mengajar usahawan untuk menerima pakai teknologi terkini dan mengubah perniagaan untuk memenuhi perubahan era teknologi serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baharu.

“Walaupun terpaksa menghadapi gangguan teknologi, rantaian bekalan, perubahan iklim dan sebagainya, ia menjadi suatu pengajaran untuk semua supaya bersedia menghadapi ketidaktentuan di masa hadapan.

“Justeru, para usahawan diseru supaya memanfaatkan geran SME berjumlah RM1,000 yang diberikan untuk kembali aktif dalam perniagaan masing-masing,” ujar Halim semasa berucap di Majlis Grab 1 Million SME Grant dekat sini pada 17 Mac 2022.

Turut hadir, Pengerusi Hainan Association Seberang Perai, Ong Tang Chuan; Pengerusi Junior Chamber International (JCI) Tanjung Bunga, Sophia Loo; Pengerusi Perbadanan Perusahaaan Kecil dan Sederhana (SME) Seberang Perai, Francis Wong serta Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan (MIDA) Pulau Pinang, Muhamad Ghaddaffi Sardar.

Dalam sesi yang sama, Abdul Halim turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam mengekalkan daya tahan sektor pembuatan di negeri Pulau Pinang.

“Seperti yang semua sedia maklum, Pulau Pinang telah mengekalkan daya tahannya walaupun terkesan oleh wabak dengan mencatatkan jumlah pelaburan pembuatan berjumlah RM16.5 bilion pada tahun 2019, RM14.1 bilion (2020) dan RM76.2 bilion (2021).

“Sekalung penghargaan diucapkan kepada MIDA, InvestPenang (IP), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), SMECorp dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) atas usaha mereka mengekalkan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan pelabur,” ucap Abdul Halim sambil menambah bahawa sektor perniagaan bakal pulih dan kembali kukuh pada tahun 2022.

Teks & Gambar: NUR ASHIKIN ISMAIL