Usahawan diseru mohon SPH mantapkan perniagaan

Admin
KETUA Menteri (lima dari kiri) dan beberapa pemimpin Kerajaan Negeri lain merakamkan gambar dengan para penerima SPH 2.0 dalam Karnival Usahawan SPS di sini pada petang tadi.

JAWI – Mereka yang berminat untuk berkecimpung dengan lebih serius dalam dunia keusahawanan dialu-alukan untuk memohon dana di bawah Skim Pinjaman Harapan (SPH) disediakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa menyempurnakan acara perasmian penutup Karnival Usahawan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Arena Jawi dekat sini pada 11 Disember 2022.

“Saya difahamkan majoriti penerima skim ini merupakan mereka yang berkecimpung dalam usahawan berkaitan sektor makanan dan minuman (F&B).

“Justeru, saya mengambil kesempatan ini menyeru semua usahawan dan bakal usahawan khususnya di daerah SPS untuk tampil ke hadapan bagi memohon dana (skim pinjaman mikro kredit) ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menurut Kon Yeow, SPH dalam siri pertama telah melimpahkan manfaat modal pinjaman kepada seramai 3,818 pemohon dengan jumlah peruntukan sebanyak RM21,952,630.40.

“Untuk SPH 2.0 pula, meskipun baru sahaja dilancarkan pada 28 Oktober 2022, ia telah mencatat bilangan penerima seramai 45 orang dengan peruntukan sebanyak RM790,000.00

“Pakej bantuan SPH 2.0 ini telah bermula daripada RM5,000 sehingga RM50,000 melalui dua skim pinjaman berbeza berdasarkan kelayakan perniagaan pemohon,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) atas kejayaan melaksanakan skim pinjaman mikrokredit peringkat negeri tersebut.

ABDUL Halim Hussain (kiri) semasa sesi lawatan ke salah sebuah gerai usahawan di sini tadi.

Sementara itu, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata bahawa pihaknya senantiasa komited untuk merealisasikan kempen ‘Keusahawanan Satu Budaya’ berdasarkan Visi Penang2030 yang digagaskan oleh pentadbiran Kon Yeow sendiri.

“Karnival Usahawan SPS ini adalah sebahagian daripada program di bawah MMK Usahawan dengan tema Usahawan Sebagai Suatu Budaya.

“Di bawah pentadbiran Ketua Menteri, menerusi Visi Penang2030 antara lain mahu meningkatkan pendapatan sektor isi rumah rakyat dan program keusahawanan seumpama ini akan menyumbang kepada usaha meningkatkan pendapatan mereka.

“Jadi, saya berharap usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri usahawan terus diusahakan oleh semua pihak yang terlibat,” ulasnya yang juga ADUN Batu Maung.

Serentak pada majlis sama, Kon Yeow diiringi Abdul Halim dan beberapa pemimpin Kerajaan Negeri lain turut menyampaikan pinjaman modal mikrokredit SPH 2.0 kepada lima penerima baharu dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM90,000.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR