Usahawan mee sanggul tak pegang perkataan putus asa

Admin

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

KHALID Ramaley menunjukkan produk-produk keluarannya.
KHALID Ramaley menunjukkan produk-produk keluarannya.

PERSONALITINYA peramah dan percakapannya penuh budi bahasa. Namun, komitmennya dalam bidang perniagaan amatlah dikagumi.

 

Berbekalkan semangat dan minat, bekas kakitangan awam, Khalid Ramaley meneruskan usaha mencari premis untuk memulakan perniagaan menjual mee selepas seminggu tamat berkursus.

 

“Kalau tak buat terus, memang takkan buat!’’ jawabnya ringkas

kepada skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara ketika ditemui di

premisnya di Taman Arowana, Permatang Pauh baru-baru ini.

 

Sebagai ‘orang baru’ dalam bidang tersebut, Khalid tidak menafikan bahawa beliau terpaksa ‘ketuk pintu’ memperkenalkan produk keluarannya di sekolah-sekolah dan kilang-kilang.

 

“Cabaran utama dalam bidang ini adalah persaingan dan kerenah pelanggan. Kita baru masuk (produk baru), nak dapatkan pelanggan, memang kena usaha keras.

 

“Apatah lagi, kita sebagai usahawan kecil.

 

MEE sanggul yang dihasilkan.
MEE sanggul yang dihasilkan.

“Pada aspek modal, selepas bermula (memulakan perniagaan) pada tahun 2009, tahun ini baru nampak ok sikit,’’ jelasnya yang dikurniakan lima cahaya mata.

 

Pada aspek kerenah pelanggan, Khalid memberitahu bahawa ia membabitkan hutang yang mana secara tidak langsung memberi impak kepada pusingan modal perniagaannya.

 

Dibantu empat pekerja, penghasilan mee sanggul yang merupakan produk jualan utama beliau kini masih adalah menggunakan proses manual.

 

Ini termasuk proses bancuhan tepung, menggoreng atau merebus (bagi mee basah) dan pembungkusan produk untuk dipasarkan.

 

Ekoran permintaan yang kian meningkat kini, Khalid tidak menafikan bahawa proses pembuatan sedia ada tidak dapat menampung jumlah berkenaan.

 

Justeru, berkat usaha selama selama lima tahun, beliau kini mampu mempekembangkan prospek perniagaannya ke sebuah kilang terletak di Bukit Minyak, Seberang Perai Tengah (SPT).

 

Selain pasaran di negeri Pulau Pinang, produknya turut dipasarkan di Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang.

 

Malah, beliau juga turut terlibat dalam memberi latihan kepada para pelajar hasil kerjasama dengan kementerian berkaitan.

 

Mengimbas kembali pengalaman ketika mula berkecimpung dalam bidang berkenaan, selepas tamat kursus pembuatan mee, Khalid menyatakan bahawa beliau mengambil tempoh tiga bulan tambahan untuk betul-betul memahiri teknik pembuatan produk berkenaan.

 

SEORANG kakitangan sedang menggoreng mee sanggul secara manual.
SEORANG kakitangan sedang menggoreng mee sanggul secara manual.

“Pernah sekali, sebanyak 30 hingga 50 katon (satu katon terdapat 20 bungkus) produk mee sanggul dikembalikan kerana ia berkulat.

 

“Kecewa, namun, saya tidak putus asa. Saya cuba buat lagi. Selepas itu, baru tahu masalah sebenar kerana setiap peringkat teknik pembuatan seperti kuantiti minyak, api dan beberapa aspek lagi adalah perlu dititikberatkan,’’ jelasnya sambil menyatakan bahawa produk asas penghasilan mee adalah tepung, air, garam dan ‘air abu’.

 

Uniknya, Khalid mengulas, mee keluarannya, tanpa mengira produk basah ataupun kering (mee sanggul), ia tidak mengandungi bahan pengawet.

 

Ini bermakna, apabila makan, terutamanya kanak-kanak, mereka tidak akan sakit perut. Sebaliknya, ia mempunyai rasa segar    (fresh), sedap, pejal dan mengejangkan.

 

Malah, produk mee sanggul keluarannya mampu bertahan selama setahun.

 

Mengulas lanjut, Khalid menyatakan bahawa walaupun statusnya kini masih tidak boleh dilabelkan sebagai usahawan berjaya, beliau akan terus berpegang kepada prinsip – buat sesuatu sampai berjaya!

 

“Dah terjun dalam bidang usahawan, saya tidak pegang perkataan putus asa.

 

“Kalau tak, lebih baik makan gaji. Kena sabar…,’’ ujar Khalid yang ingin memperturunkan perniagaan beliau kepada anak-anak serta cucu-cucunya kelak.

 

INFO :

BUMI BEST ENTERPRISE

No. 1513, Jalan Permatang Pauh, Taman Arowana,

13500 Permatang Pauh, Pulau Pinang.

013 – 473 5584

Emel : [email protected] atau [email protected]