GEORGE TOWN – Di sebalik musibah pandemik COVID-19 yang melanda, sisi positif tersebut telah mempercepatkan langkah dalam mewujudkan platform perniagaan dalam talian, maklum Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Menurut beliau, kekangan operasi perniagaan fizikal akibat penularan COVID-19 telah menjadi titik permulaan kepada para peniaga serta usahawan untuk berinovasi dan melangkah ke arah platform e-dagang.
“Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, pembelian barangan atau perkhidmatan melalui platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan Grab menunjukkan peningkatan yang tinggi iaitu masing-masing adalah 45 peratus pada tahun 2020 dan 35.2 peratus pada tahun 2019.
“Manakala pembelian melalui telefon, Whatsapp dan Facebook juga turut meningkat pada tahun 2020 iaitu 54.4 peratus berbanding tahun 2019 iaitu 22.5 peratus.
“Ini membuktikan bahawa platform e-dagang digunakan secara maksimum oleh pengguna pada tahun lepas akibat wabak COVID-19 untuk urusan jual beli.
“Oleh itu, para usahawan perlu bijak menggunakan sebaik mungkin platform e-dagang ini untuk menjual produk bagi meningkatkan hasil jualan masing-masing,” ucapnya pada Majlis Perasmian Sinar Ramadan 2021 dan Majlis Berbuka Puasa anjuran Penang International Halal (PHI) di sini tadi.
Hadir sama, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Farazi Johari dan Ketua Pegawai Eksekutif PHI, Aida Lim Abdullah.
Mengulas lanjut, Kon Yeow juga berharap senario penggunaan platform perniagaan dalam talian akan berterusan selepas situasi pandemik COVID-19 reda kelak.
Malah, beliau juga berharap kelonggaran yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dengan membenarkan bazar Ramadan beroperasi tahun ini dapat menarik lebih ramai para usahawan dan peniaga untuk turut serta sekaligus membantu merancakkan semula sektor ekonomi pasca COVID-19.
Kempen Sinar Ramadan 2021 adalah bertujuan membantu mempromosikan produk para usahawan serta peniaga dalam bidang makanan, minuman dan barangan menyambut Ramadan serta Syawal.
Mengulas lanjut, Abdul Halim memberitahu bahawa tumpuan juga akan diberikan kepada hotel (bufet Ramadan), peniaga-peniaga bazar Ramadan dan kompleks membeli-belah dengan menggunakan logo, tema serta kemudahan disediakan oleh PHI, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Malah, penganjuran Sinar Ramadan 2021 oleh PHI ini turut berganding bahu bersama-sama rakan kongsi PHI iaitu Shopee, Foodpanda dan Maybank Islamic untuk merancakkan lagi kempen ini daripada segi pemerkasaan penggunaan digital dalam kalangan pengguna dengan transaksi tanpa tunai,” ulasnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar & Video : LAW SUUN TING