GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sentiasa berusaha meningkatkan prestasi ekonomi Pulau Pinang demi kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa usaha tersebut sekaligus dapat mewujudkan platform stabil dan mampan kepada para usahawan tempatan terutamanya usahawan muda.
“Selain berusaha mewujudkan ekosistem ekonomi yang stabil, pelbagai inisiatif seperti penganjuran pelbagai bengkel dan latihan, penyaluran bantuan peralatan dan kewangan serta Skim PinjamanHarapan (SPH) telah dilaksanakan untuk mencapai hasrat tersebut.
“Dalam konteks negeri Pulau Pinang, kita memerlukan generasi usahawan yang bukan hanya mampu menjana pendapatan tetapi juga seorang usahawan yang mampu mencipta peluang perniagaan kepada komuniti tempatan yang sekaligus menyumbang kepada pembangunan sosial secara mampan.
“Saya percaya bahawa setiap idea yang dihasilkan oleh anda semua hari ini boleh menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif,” ujarnya pada Majlis Penutup Peringkat Akhir Pertandingan Keusahawanan Belia 2024 di sini sebentar tadi.
Hadir sama, mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lim Boon Heng dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Lim Chia How.
Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota memuji inisiatif Kerajaan Persekutuan yang akan menyalurkan RM40 bilion sebagai bantuan dan pembiayaan perniagaan di bawah Ikhtiar ke-32 melalui Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
“Secara keseluruhan, RM40 bilion disediakan sebagai kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan perniagaan di bawah agensi-agensi kerajaan.
“Saya percaya tidak ada negara lain yang ambil perhatian serta prihatin untuk bangunkan satu bangsa keusahawanan seperti di negara kita, dan ini merupakan langkah memperkasakan bidang ini sambil meningkatkan ekonomi kita,” jelasnya lanjut.
Dalam pertandingan keusahawanan belia tersebut, pasukan Duriolab muncul juara Katergori Terbuka dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM7,000. Tempat kedua disandang oleh One Team One Dream (RM5,000) dan ketiga, The Charm Circle (RM3,000).
Sementara itu, pasukan Onword dari Han Chiang High School menjadi johan Kategori Sekolah Menengah dengan wang tunai berjumlah RM3,000. Aquafit dan SETUP juga dari sekolah sama berpuas hati di tempat kedua dan ketiga dengan masing-masing membawa pulang hadiah bernilai RM2,000 dan RM1,000.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING
Vidoe : SITI NURATIKAH RAHMAT