Usahawan perlu pelajari ilmu baharu, hasilkan produk ‘Made in Penang

BATU MAUNG – Memilih kerjaya sebagai usahawan pasca COVID-19 bukanlah satu perkara yang mudah sebaliknya perlu menempuh pelbagai cabaran.

 

 

Menurut Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain, untuk memperkasakan diri, para usahawan perlu mempelajari ilmu-ilmu baharu untuk terus bertahan.

 

 

“Selepas melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih dua tahun dan masuk ke fasa peralihan endemik banyak perkara yang perlu dinilai semula.

 

 

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami akan melihat bagaimana boleh bantu pacu semula ekonomi pasca COVID-19, itu adalah cabaran kita semua.

 

 

“Kita perlu atur pelbagai program untuk beri tumpuan kepada usahawan-usahawan kecil sederhana kerana mereka ini terkesan lebih teruk berbanding usahawan besar yang boleh berdikari dan mempunyai banyak simpanan,” ujarnya pada Karnival Usahawan @ Barat Daya yang diadakan di perkarangan pasar raya Giant Bayan Baru.

 

 

Difahamkan, karnival yang diadakan secara bersama dengan penganjuran Karnival Rakyat Batu Maung berlangsung pada 30 hingga 31 Julai 2022.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya (DBD), Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Aziz Bakar.

 

 

Mengulas mengenai situasi semasa, Abdul Halim berkata, cabaran semasa kini diburukkan lagi dengan konflik peperangan Rusia dan Ukraine yang merupakan pengeksport besar bijirin di dunia, secara langsung menjejaskan ekonomi negara kerana kekurangan makanan untuk haiwan ternakan.

 

 

“Jadi untuk masa depan kita perlu bersedia dengan kejutan-kejutan lain yang mampu memberi impak kepada ekonomi negara khususnya, seperti kejatuhan nilai ringgit yang turut menyumbang kepada kadar inflasi yang terjadi hari ini.

 

 

“Kerajaan Negeri dalam pada itu giat  mengadakan Kempen ❤️Penang, maka saya harap usahawan juga mampu keluarkan produk ‘Made in Penang’.

 

 

“Kita kena bangga satu hari mungkin sampai ke antarabangsa macam ‘Made in China’ yang mana dahulu ramai tidak mahu tetapi sekarang dijenamakan semula dan barangan China bukan lagi berkualiti rendah seperti dahulu,” tambahnya yang juga ADUN bagi kawasan Batu Maung.

 

 

Pada karnival tersebut Abdul Halim turut menyampaikan hadiah berupa wang tunai kepada usahawan terbaik PDC, Skim Pinjaman Harapan (SPH) melalui PDC dan pemberian baucar kepada golongan B40 terpilih dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI