Usahawan Pulau Pinang bawah jenama Sri Pinang berjaya raih jualan RM2 Juta pada Malaysia Fest 2023 di Singapura

PERAI – Jualan sebanyak RM2 juta berjaya dicatatkan usahawan negeri Pulau Pinang sepanjang empat hari penyertaan mereka pada program Malaysia Fest di Singapura bermula 27 hingga 30 Julai 2023.

Seramai 17 usahawan bimbingan FAMA Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) terlibat bagi menjayakan program jualan pada tahun ini yang berlangsung di Singapore Expo Convention & Exhibition Centre, Changi.

Pavilion Negeri Pulau Pinang kali ini membawa sebanyak 72 sku produk-produk di bawah jenama Sri Pinang yang mencatatkan nilai jualan tunai kira-kira RM820,000 dan selebihnya melalui tempahan awal yang diterima oleh usahawan melalui ejen-ejen mereka di Singapura.

Program ini yang berjaya mencatatkan jumlah pengunjung seramai 150,000 orang serta turut dihadiri oleh delegasi daripada MPBPP yang diketuai Timbalan Pengarah, Norhisham Ramli.

Antara produk usahawan di bawah jenama Sri Pinang yang mendapat perhatian dan permintaan tinggi daripada warga Singapura ialah Kopi Hang Tuah, Jeruk Madu Pak Ali, produk hasil laut, dan pes masakan.

Pada sesi yang sama, tujuh perjanjian persefahaman berjaya dimeterai melalui program Business Matching bersama-sama rakan niaga usahawan masing-masing bagi memperluaskan pasaran produk usahawan tempatan ke luar negara bagi mengukuhkan jaringan pemasaran.

Tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan program pada kali ini.

Semoga lebih ramai usahawan negeri Pulau Pinang akan berjaya menembusi pasaran Singapura pada masa akan datang.