USM, Kerajaan Negeri anjur Ekspo Kerjaya & Pendidikan, 30 – 31 Mac

Admin

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang menganjurkan Ekspo Kerjaya dan Pendidikan (EKSPEN) pada 30 dan 31 Mac ini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, lebih 50 syarikat dan beberapa agensi kerajaan dijangka mengambil bahagian dalam program tersebut yang akan berlangsung di Dewan Utama Pelajar dekat kampus utama, USM.

“EKSPEN merupakan platform terbaik untuk membantu dan memperkasakan graduan dalam memilih kerjaya yang sesuai selain dapat berinteraksi dengan bakal majikan.

“Justeru, saya berharap agar ekspo ini menjadi pemangkin kepada lepasan graduan, bakal graduan dan juga pelajar lepasan sekolah untuk mengetahui kepentingan meneroka dan merancang secara strategik kerjaya masa hadapan mereka,” katanya yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi pada sidang media di sini tengah hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (ACE), Dr. Norazharuddin Shah Abdullah berkata, EKSPEN 2019 memberi ruang kepada pelajar untuk memahami permintaan pekerjaan di pasaran kerjaya.

“Sebagai penganjur kami berharap agar program ini akan dapat membantu membekalkan maklumat kepada mahasiswa serta masyarakat setempat berkaitan peluang pekerjaan dan pendidikan,” katanya.

Difahamkan, program yang akan berlangsung dari jam 9:00 pagi sehingga 5:00 petang itu turut diisi dengan pameran kerjaya, taklimat pendidikan dan kerjaya, temuduga terbuka, bengkel penulisan resume dan banyak lagi.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI