USM universiti tunggal dunia peroleh akses dokumen bersejarah Kapten Francis Light berusia 230 tahun – Naib Canselor

Admin

PANTAI JEREJAK – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi universiti tunggal dan satu-satunya di dunia yang memperoleh akses kepada dokumen bersejarah, The Lights Letters Collection milik Kapten Francis Light yang tersimpan di School of Oriental and African Studies, University of London.

Keunikan koleksi digital yang mengandungi 1,200 surat melalui 11 jilid dari tahun 1771 hingga 1794 iaitu kira-kira 230 tahun dahulu, semuanya tertera dalam tulisan Jawi.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail berkata, dokumen tersebut adalah termasuk surat-menyurat, tulisan dan nota melibatkan Raja-Raja Melayu, orang kenamaan, isteri-isteri kenamaan dan rakan perniagaan.

Menurutnya, kandungan dokumen berkaitan kelak bakal disimpan di dalam pelbagai bentuk oleh Perpustakaan Hamzah Sendut untuk rujukan para penyelidik dan pengkaji sejarah.

“Ia juga akan menerima suntikan teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI).

“Ini termasuk kebolehan untuk Data Mining, Sentiment Analysis, Deep Learning, Machine Learning dan pelbagai lagi bagi membolehkan pemahaman pemikiran, hubungan diplomasi, perbincangan pedagang Inggeris dengan pihak berkuasa di Pulau Pinang serta hubungan kuasa yang wujud ketika itu.

“Buat masa ini, USM adalah satu-satunya universiti yang diberikan pengiktirafan untuk menjalankan analisis sebegitu rupa ke atas bahan peninggalan sejarah yang cukup penting, khususnya Pulau Pinang.

“Projek ini yang dinamakan sebagai The Beacon of Light@USM juga membolehkan interpretasi yang lebih tepat serta mendalam selain potensi untuk memeriksa ketepatan sejarah dalam tempoh tersebut,” ujar beliau yang begitu teruja dengan kejayaan USM melalui Pusat Penyelidikan Dasar dan Pengajian Antarabangsa yang diberi hak tunggal memperoleh projek berimpak tinggi tersebut.

Asma berkata demikian pada Majlis Anugerah Sanggar Sanjung 2017 di sini malam ini.

Berangkat memperkenan majlis, Tuanku Canselor, D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Alumni USM dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (1984).

Pada majlis tersebut, seramai 182 individu cemerlang diiktiraf atas pencapaian masing-masking, dan rata-ratanya menjalankan kajian dalam bidang penyelidikan, penerbitan, pengajaran serta pembelajaran, kepemimpinan, keusahawanan, kualiti, kepimpinan masyarakat dan ketokohan.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN